info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Presiden Moon, Biden Sahkan Semula Komitmen

39views

SEOUL, 12 Nov — Presiden Korea Selatan Moon Jae-in pada Khamis menghubungi  presiden  dipilih Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen mengenai pakatan Seoul-Washington, lapor agensi berita Yonhap.

“Kami mengesahkan kembali komitmen pakatan Korea-AS dan Semenanjung Korea yang aman dan makmur,” ciap Moon di Twitter.

Tambah beliau, “pada masa depan saya akan bekerjasama rapat dengannya untuk menghadapi cabaran global termasuk COVID-19 dan perubahan iklim.”

Ia perbincangan melalui telefon pertama mereka sejak Biden diisytiharkan memenangi pilihan raya presiden AS minggu lalu.

Terdahulu, Moon mengeluarkan satu kenyataan yang melahirkan harapan untuk pakatan yang lebih kuat antara kedua-dua negara dan meneruskan kerjasama dua hala dalam mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear dan keamanan serantau.

Pada hari sama beliau turut dilaporkan mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga, diikuti pemimpin Kanada dan Eropah.

Biden telah menyatakan sebagai presiden beliau akan berusaha untuk mengeratkan lagi hubungan Amerika Syarikat dengan sekutu tradisionalnya, termasuk Korea Selatan.

“Sebagai Presiden, saya akan berdiri bersama Korea Selatan, memperkuat pakatan kita untuk menjaga keamanan di Asia Timur dan seterusnya, daripada mengugut Seoul dengan ancaman melulu untuk memindahkan tentera kita,” katanya dalam satu kenyataan khas yang disediakan eksklusif kepada Yonhap sebelum pilihan raya presiden berlangsung.

Terdahulu, anggota jawatankuasa Tetap Majlis Keselamatan Nasional Cheong Wa Dae (Pejabat Presiden) membincangkan perkembangan pilihan raya berkenaan dan cara untuk mengekalkan serta mengembangkan lagi hubungan Korea Selatan-AS berdasarkan pakatan dua hala.

Sesi di Cheong Wa Dae ini dipengerusikan oleh Pengarah Keselamatan Negara Suh Hoon.

Mereka juga membincangkan langkah-langkah untuk “mencapai keamanan berkekalan di Semenanjung Korea,” menurut Cheong Wa Dae.

— BERNAMA

Source link