info@rakyat.my
Saturday, June 19, 2021
Berita

PRK Gerik perlu diadakan selari ketetapan perlembagaan

28views

GERIK, 17 Nov  — Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik perlu diadakan kerana kekosongan kerusi kawasan itu berlaku dalam tempoh tiga tahun pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang diadakan pada Mei 2018, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan  yang perlu dipatuhi dan pihaknya tidak mempunyai masalah jika berlaku pertandingan dalam PRK Gerik.

“Kita tiada masalah dari segi persiapan kerana UMNO Gerik telah membuat persiapan bagi menghadapi PRU15, jadi ini boleh diguna pakai jika ada PRK Gerik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri solat jenazah  Ahli Parlimen Gerik Allahyarham Datuk Hasbullah Osman di Masjid Jamek Gerik, di sini hari ini.

Hasbullah, 63, yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik meninggal dunia kira-kira 7 malam tadi di Hospital Raub, Pahang, meninggalkan dua balu iaitu Datin Rosmawati Ariffin, 58, dan Zaini Abu Bakar, 29, serta lapan anak berumur dua bulan hingga 34 tahun.

Allahyarham merupakan Ahli Parlimen Gerik yang mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Temenggor dan Pengkalan Hulu sejak PRU13 hingga sekarang.  Beliau sebelum itu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor selama dua penggal bermula pada PRU11.

Hasbullah yang dilahirkan di Hospital Gerik pada 17 Feb 1957 memulakan kerjaya sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah di sini sejurus selepas menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (M4P) pada 1979 namun dipinjamkan menjadi setiausaha sulit kepada beberapa timbalan menteri sebelum bersara daripada sektor awam pada 1999.

Sementara itu, Saarani berkata kehilangan Hasbullah sangat dirasai kerana kedua-dua mereka mempunyai hubungan yang akrab memandangkan pernah  bertugas sebagai guru di sekolah sama pada 1982.

“Hasbullah mengajar pada waktu pagi dan saya mengajar pada waktu petang. Saya tinggal di kuarters guru dan Hasbullah yang tinggal dengan ibunya sering datang ke rumah saya,” katanya.

Katanya hubungan akrab mereka berterusan hingga ke arena politik apabila Allahyarham Hasbullah kini menjadi timbalannya dalam Badan Perhubungan UMNO Negeri.

“Saya menerima berita sedih kematian Hasbullah ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur semalam. Saya sedih kehilangan seorang sahabat dan pembantu, dan sudah tentu kita merinduinya,” katanya.

— BERNAMA

Source link