BeritaPolitik

PRN Melaka : Kerjasama UMNO Dengan Parti Lain Diputuskan 14 Oktober

JELEBU, 8 Okt — Sebarang bentuk kerjasama membabitkan parti lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 14 Oktober ini.

Ahli MKT UMNO, Datuk Jalaluddin Alias, berkata semua perkara berkaitan PRN Melaka akan dibincangkan dan diperhalusi sebelum keputusan muktamad diambil.

“Ada yang tanya kewajaran untuk kita bekerjasama dengan parti BERSATU, tunggulah MKT bermesyuarat nanti.

“Pada masa sama, apa yang berlaku di Melaka adalah sesuatu yang malang bagi rakyat susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit sehingga berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri,” katanya ditemui selepas majlis perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Jelebu di Kolej Komuniti Jelebu, hari ini.

Jalaluddin yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata sekiranya PRN Melaka diadakan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Ia termasuk tidak membenarkan jentera kempen dari luar Melaka masuk ke sana, sebaliknya biarlah ia dibuat oleh jentera parti di dalam negeri itu saja.

“Bagaimanapun, pada pandangan peribadi saya PRN di Melaka wajar ditangguhkan dan ambillah iktibar apa yang berlaku di Sabah sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Pembubaran DUN Melaka itu dibuat selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.

Source Link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button