Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaProjek Hidroelektrik Nenggiri tawar 2,000 peluang pekerjaan

Projek Hidroelektrik Nenggiri tawar 2,000 peluang pekerjaan

KOTA BHARU, 13 Jun (Bernama) — Projek Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, yang kini memasuki fasa pembinaan akan membuka 2,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat Orang Asli dan penduduk tempatan, kata Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Kelantan dan Terengganu Mustaphakamal Yaacob.

Beliau berkata tenaga kerja itu diperlukan bagi membantu pelaksanaan projek bermula peringkat fasa pembinaan dan pascapembinaan memandangkan projek tersebut telah bermula pada Mac lepas.

“Dianggarkan 2,000 pekerja diperlukan semasa kerja-kerja pembinaan projek. Ia sekali gus akan memberikan impak sosioekonomi yang positif kepada Kelantan khususnya masyarakat Orang Asli dan penduduk di sekitar tapak projek.

“Peluang pekerjaan juga tersedia setelah pembinaan selesai dan semasa operasi loji dan jana kuasa seperti penyelenggaraan kawasan, pengawal keselamatan, kerja-kerja yang memerlukan tenaga mahir dan tidak mahir,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Taklimat Media Projek Hidroelektrik Nenggiri Gua Musang, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Projek Hidroelektrik Nenggiri Mohammad Zamri Ibrahim.

Mustaphakamal berkata selain peluang pekerjaan, projek tersebut akan turut mewujudkan peluang ekonomi kepada masyarakat Orang Asli serta penduduk sekitar apabila wujudnya tasik takungan utama di empangan berkenaan.

“Tasik takungan utama ini akan menjadi daya tarikan untuk aktiviti seperti akuakultur, ekopelancongan dan taman rekreasi. Ini terbukti seperti di Tasik Kenyir, Terengganu apabila Orang Asli di kawasan itu dapat meningkatkan ekonomi dan kehidupan mereka.

“Sebagai menggalas tanggungjawab sosial, TNB komited untuk memastikan kesejahteraan komuniti setempat khususnya kepada Orang Asli dengan mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang dapat membantu menjana pendapatan mereka menerusi projek yang bakal dilaksanakan ini nanti,” katanya.

Projek Hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion dijangka mula menjana elektrik pada pertengahan 2027 dan akan meningkatkan kapasiti elektrik tenaga boleh baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia.

Projek itu yang telah memasuki fasa pembinaan pada 1 Mac lepas akan menjana 300 megawatt (MW) apabila mula beroperasi.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular