info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

Projek Solar: CIDB Saman Jepak Holdings, Tuntut Bayar Levi RM1.65 Juta

29views

KUALA LUMPUR, 15 Jan — Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memfailkan saman terhadap Jepak Holdings Sdn Bhd bagi menuntut perintah supaya syarikat itu membayar lebih RM1.65 juta levi yang tertunggak kepada CIDB melibatkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Projek solar hibrid itu dikaitkan dengan kes rasuah membabitkan isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang sedang dibicarakan.

CIDB selaku plaintif memfailkan saman tersebut menerusi Tetuan Hazura Yusoff & Partners pada 2 Dis lepas, dengan menamakan Jepak Holdings sebagai defendan tunggal. Pihak media memperoleh salinan dokumen itu hari ini menerusi carian dalam e-filing.

Mengikut senarai kes mahkamah, kes itu ditetapkan untuk sebutan secara dalam talian, e-Review, di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Maslinda Selamat pada 18 Jan ini.

Dalam penyataan tuntutannya, CIDB berkata berdasarkan peruntukan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM) 1994, plaintif berhak untuk mengenakan levi ke atas mana-mana kontraktor berdaftar sebelum bermula kerja-kerja pembinaan yang mempunyai jumlah kontrak RM500,000 dan ke atas iaitu untuk jumlah suku peratus dari jumlah harga kontrak tersebut.

Menurut CIDB, pada 10 Nov 2016, Jepak Holdings telah menerima pelantikan untuk menjalankan kerja-kerja kontrak dikenali sebagai “Cadangan Pelaksanaan Menerusi Rundingan Terus Bagi Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak” bernilai RM1.25 bilion.

Mengikut peruntukan Seksyen 34(2) Akta LPIPM dan Peraturan 7 dan 10 Peraturan-Peraturan Industri Pembinaan (Pungutan Levi) 1996, plaintif telah mengeluarkan Borang Pemberitahuan Pengenaan Levi bermula dari 12 Jun 2019 bagi jumlah levi yang dikenakan berjumlah RM1,656,250.00.

“Defendan juga telah mengisytiharkan projek solar itu kepada plaintif melalui sistem dalam talian dan berikutan daripada pengisytiharan tersebut, sistem plaintif secara automatik telah menjana borang pengenaan levi kepada defendan.

“Oleh itu, defendan bertanggungjawab untuk membayar kepada plaintif bagi jumlah levi yang dikenakan berjumlah RM1,656,250.00 dan kegagalan defendan menjelaskan keseluruhan atau baki pembayaran levi bagi kontrak tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta LPIPM,” menurut CIDB dalam penyataan tuntutannya.

Menurut plaintif, notis tuntutan bertarikh 16 Ogos 2019 telah dikeluarkan terhadap defendan bagi menuntut pembayaran jumlah levi yang masih tertunggak dan wajib dibayar oleh defendan kepada plaintif, namun sehingga kini defendan masih gagal menjelaskan pembayaran levi tersebut.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar pembayaran jumlah levi yang masih tertunggak berjumlah RM1,656,250.00 setakat 16 Ogos 2019, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

— BERNAMA

Source link