Berita

Proklamasi Darurat Bantu Pemulihan Ekonomi

112views

PUTRAJAYA, 20 Jan  — Dakwaan yang mengatakan Proklamasi Darurat menakutkan golongan pelabur adalah tidak tepat, sebaliknya ia mampu membantu pemulihan ekonomi negara, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia merupakan antara 80 negara di dunia, atau hampir setengah daripada seluruh dunia, yang mengisytiharkan darurat bagi menangani pandemik COVID-19.

“Seperti yang saya katakan, kesihatan awam adalah kunci untuk pemulihan ekonomi. Saya ingin jelaskan apa-apa keputusan dalam tempoh ini perlu mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong atau orang yang dilantik baginda,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada satu taklimat khas mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion dengan 22 inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang bermatlamat memerangi pandemik COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Pada 12 Jan lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung pandemik COVID-19 di negara ini.

Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan langkah semak dan imbang iaitu melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang terdiri daripada pihak kerajaan, pembangkang dan pakar-pakar yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong sekiranya tempoh darurat boleh ditamatkan.

Beliau berkata kerajaan sudah membuktikan ia sentiasa berbincang dengan sektor swasta, dan inilah masanya untuk kedua-dua pihak berganding bahu dan bekerja sama dalam usaha mengembalikan negara kepada landasan pemulihan ekonomi yang mampan.

“Inilah masa yang baik untuk kerjasama awam-swasta yang lebih baik. Kita lihat selepas pengumuman darurat, pasaran modal kita stabil.

“Awal Januari, kita mencatatkan aliran masuk dana asing bersih dalam pasaran saham. Sebelum itu, Disember menjadi bulan kelapan berturut-turut yang merekodkan aliran masuk dana asing ke dalam pasaran bon. Ringgit masih berada pada paras tinggi berbanding dolar AS,” katanya.

Tengku Zafrul berkata beliau percaya golongan pelabur masih yakin dengan Malaysia, dan memberi jaminan kerajaan akan melakukan perkara yang betul iaitu mewujudkan keseimbangan dalam melindungi kehidupan dan mata pencarian.

Dari segi inisiatif, beliau berkata pelbagai insentif menarik pelaburan telah diumumkan kerajaan semasa mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara dan belanjawan, antaranya peruntukan RM15 bilion untuk projek infrastruktur utama, dengan tambahan RM2.7 bilion untuk infrastruktur luar bandar.

“Pada akhirnya, landasan pemulihan ekonomi kita bergantung kepada usaha mengekang pandemik COVID-19. Kita mengambil langkah-langkah yang perlu di samping prosedur operasi standard yang ketat. Pelaksanaan vaksin pada suku ini akan menyokong usaha ini,” katanya.

— BERNAMA

Source link