info@rakyat.my
Wednesday, June 16, 2021
Berita

Prudential BSN Takaful Raih Anugerah Insurans Fintech-life

78views

KUALA LUMPUR, 27 Mei — Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) merangkul anugerah Insurans Fintech-Life pada Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia baru-baru ini yang disampaikan oleh Singapore Business Review.

Dalam kenyataan hari ini, pengendali takaful itu berkata program anugerah itu menghargai syarikat luar biasa yang berjaya merintis penyelesaian dan produk teknologi maklumat yang terkini, serta projek teknologi inovatif dalam industri mereka untuk menyokong ekonomi Malaysia yang berkembang pesat.

Ketua Pegawai Eksekutif Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata PruBSN telah mendigitalkan proses takaful tradisional dengan membolehkan peserta melaksanakan fungsi secara menyeluruh melalui aplikasi mudah alihnya, PruBSN Aman.

“Melalui aplikasi itu, pengguna boleh melanggan perkhidmatan khairat, memberi sumbangan dan menguruskan urusan pengebumian dengan cepat dan lancar,” katanya.

PruBSN Aman memudahkan bantuan bersama dalam kalangan masyarakat apabila peserta akan menyumbang kepada perlindungan peserta lain ketika dilindungi dengan faedah sehingga RM10,000 jika berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Jika berlaku kematian, penama anda hanya perlu menghubungi rakan kongsi kami, MyAngkasa Mukmin, penyedia perkhidmatan pengebumian yang kukuh, untuk membantu urusan pengebumian dengan menyeluruh bagi peserta beragama Islam mengikut undang-undang Syariah,” kata Wan Saifulrizal.

Source link