PSM cadang tukar nama kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) — Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bercadang untuk menukar nama badan induk terbabit kepada Persekutuan Sepak Takraw, bagi memenuhi syarat untuk menganggotai semula Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Presidennya Datuk Mohd Sumali Reduan bagaimanapun berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi badan induk itu, yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Ia secara tidak langsung (bagi) memenuhi salah satu syarat menganggotai semula ASTAF, sebab ia pernah dibincangkan sebelum ini bersama Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader.

“Matlamat yang penting kita dapat menjenamakan semula PSM kepada persekutuan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas PSM di sini hari ini.

PSM sebelum ini telah disingkirkan daripada ASTAF pada Mei 2021, susulan tindakan presidennya ketika itu Datuk Seri Ahmad Ismail, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, pada 24 Feb tahun lepas.

Dalam pada itu, Mohd Sumali turut memaklumkan Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs) PSM semalam, telah memohon untuk menyertai semula sebagai ahli gabungan badan induk itu dan permohonan itu disokong dan mendapat respon positif daripada majoriti ahli gabungan.

“Permohonan ini akan di sahkan dalam meeting jawatankuasa PSM tidak lama lagi. PSM sentiasa mengalu-alukan ahli Malaysia Sepaktakraw Federation (MASTAF), untuk bersama dengan kita,” katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button