Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaPusat aktiviti Puspanita akan dibina di Putrajaya

Pusat aktiviti Puspanita akan dibina di Putrajaya

PUTRAJAYA, 14 Jun (Bernama) — Sebuah Pusat Aktiviti Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) akan dibina di Presint 10 di sini bagi menampung pelaksanaan pelbagai program serta aktiviti yang semakin berkembang untuk ahli persatuan itu dan komuniti setempat.

Puspanita dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek bernilai kira-kira RM22 juta itu dijangka siap pada 2024 dengan dilengkapi fasiliti seperti dewan serbaguna, bilik seminar, gimnasium, kafe serta ruang pameran dan jualan untuk usahawan wanita.

“Konsep reka bentuk yang moden dan dilengkapi dengan pelbagai fasiliti bakal menjadikan pusat aktiviti ini sebagai tumpuan warga Putrajaya dan sekitar,” menurut Puspanita dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Puspanita Kali Ke-40 hari ini.

Puspanita mempunyai kira-kira 145,000 ahli di seluruh negara.

Mesyuarat agung itu dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang juga Penasihat Puspanita.

Sempena mesyuarat agung itu, turut dilancarkan Pelan Tindakan Strategik Puspanita yang menggariskan hala tuju persatuan itu bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pelan Tindakan Strategik itu digubal berdasarkan pendekatan dasar 5K iaitu penekanan kepada pelaksanaan program dan aktiviti Puspanita berdasarkan teras Kebajikan, Keilmuan, Keusahawanan, Kelestarian dan Kesejahteraan.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular