Home Berita Pusat Kajian Kewartawanan beri manfaat kepada pengamal media, rakyat

Pusat Kajian Kewartawanan beri manfaat kepada pengamal media, rakyat

38
0

MELAKA, 29 Mei (Bernama) — Saranan penubuhan Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia bermanfaat bukan sahaja kepada pengamal media, tetapi rakyat secara keseluruhannya.

Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (Protem) (GKMM) Mohamad Fauzi Ishak berkata saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri itu merupakan satu hasrat yang amat baik untuk masa depan pengamal media.

Perdana menteri ketika merasmikan sambutan kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di sini hari ini menyarankan penubuhan sebuah Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia bagi mendukung standard dan menaikkan tahap profesionalisme kewartawanan di negara ini.

Sementara itu, Mohamad Fauzi yang juga Presiden Kelab Media Johor berkata 14 kelab media seluruh negara telah mengemukakan hasrat dan cadangan penubuhan GKMM kepada perdana menteri.

Menyentuh mengenai penubuhan GKMM, Mohamad Fauzi berkata ia membabitkan gabungan 14 kelab media negeri-negeri yang ditubuhkan atas platform sosial dan kebajikan serta menghimpunkan semua wartawan dari pelbagai agensi media awam dan swasta.

Katanya, ketika ini Jawatankuasa Kerja GKMM yang ditubuhkan selepas Program Pemukiman Media SeMalaysia di Langkawi, Kedah pada 28 hingga 30 Mac lepas, sedang memperhalusi draf perlembagaan GKMM sebelum didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dalam masa terdekat.

“Semoga ia menjadi platform terbaik kepada pengamal media khususnya wartawan di seluruh negara untuk berkongsi cerita, aspirasi, semangat setia kawan serta aktiviti bersama,” katanya.

Empat belas kelab media terlibat adalah Kelab Media Putrajaya; Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA); Kelab Media Kedah (KMEK); Federation of Sarawak Journalists Association (FSJA); Kelab Media Kuala Lumpur & Selangor (KamiKLS) dan Kelab Media Johor (KMJ).

Kelab lain adalah Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT); Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS); Kelab Media Pahang (KMP); Persatuan Wartawan Perlis (PWP); Kelab Media Perak; Kelab Media Sabah; Kelab Media Pulau Pinang serta Kelab Media Kelantan.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Previous articlePerdana Menteri hadir Rumah Terbuka ADUN Tanjung Bidara malam ini
Next articlePiala Asia: Malaysia ikat India 3-3
Sistem Automasi Berita