Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaRahsia Rosli Dhoby dipentaskan dalam sambutan Hari Sarawak 22 Julai ini

Rahsia Rosli Dhoby dipentaskan dalam sambutan Hari Sarawak 22 Julai ini

SIBU, 15 Jun (Bernama) — Fakta peribadi tentang Rosli Dhoby, pahlawan negara yang pernah menggegarkan dunia kolonial British dengan pembunuhan gabenor negara penjajah itu pada 1949 demi kemerdekaan Sarawak akan dipersembahkan dalam sambutan Hari Sarawak di sini 22 Julai ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata kisah hidup dan keperibadian pejuang kemerdekaan Rosli yang tidak pernah diketahui umum akan diketengahkan dalam satu persembahan teater muzikal pada sambutan hari berkenaan.

“Sambutan Hari Sarawak merupakan satu daripada acara tonggak utama kerajaan Sarawak yang diadakan setiap 22 Julai bermula 2016 dan diisytiharkan sebagai cuti umum di negeri ini dan tarikh itu perlu diingati sebagai detik penting dalam sejarah bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata sambutan hari berkenaan telah diadakan secara hibrid dan dalam kesederhanaan bagi tempoh dua tahun lepas akibat pandemik COVID-19, namun berikutan negara berada dalam peralihan ke fasa endemik, kerajaan negeri memilih bandar Sibu untuk menjadi tuan rumah bagi sambutan secara fizikal tahun ini.

“Upacara sambutan di Stadium Tertutup Sibu akan disiarkan secara langsung melalui Facebook UKAS (Unit Komunikasi Awam Sarawak) dan turut dipancarkan ke skrin besar di Dataran Tuanku Bujang Sibu untuk ditontoni orang ramai,” katanya dan menambah sambutan itu juga akan diadakan serentak dengan Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) di bandar itu.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular