Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaRantaian bekalan semikonduktor perlu lebih berdaya tahan, fleksibel

Rantaian bekalan semikonduktor perlu lebih berdaya tahan, fleksibel

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) — Rantaian bekalan semikonduktor yang lebih berdaya tahan dan fleksibel diperlukan untuk Malaysia menghadapi laluan pertumbuhan yang teguh dan mampan, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata menjadikan rantaian bekalan semikonduktor dan elektronik lebih berdaya tahan dalam jangka panjang akan membantu mengurangkan kos dan menjadikan industri lebih cekap dalam menghadapi ketidaktentuan dan turun naik.

“Ini penting berikutan industri sedang melalui tempoh pertumbuhan tinggi pada skala global sepanjang tahun lepas dengan pemain semikonduktor utama membuat pelaburan melebihi US$550 bilion (US$1=RM4.36) dalam kilang fabrikasi,” katanya pada majlis makan malam sambutan ulang tahun ke-50 elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia anjuran Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong serta Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai.

Mohamed Azmin berkata memorandum kerjasama mengenai daya tahan rantaian bekalan semikonduktor yang ditandatangani dengan Amerika Syarikat (AS) amat penting kepada Malaysia bahawa negara tidak boleh memberi terlalu banyak penekanan terhadap impak positif daripadanya.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan berbincang dengan industri E&E tidak lama lagi untuk mewujudkan pelan tindakan bagi mencapai matlamat memorandum itu.

Pada 2021, produk E&E bernilai RM455.7 bilion telah dieksport, naik 18 peratus daripada 2020 dan mewakili 36.8 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

MITI baru-baru ini memuktamadkan misi perdagangan dan pelaburan ke AS, meraih pelaburan bernilai RM16.52 bilion termasuk pelaburan strategik daripada syarikat gergasi pembuatan global seperti Texas Instruments dan AMD bernilai RM7.92 bilion, yang dijangka menyediakan lebih 4,000 peluang pekerjaan.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular