Berita

Raptai Hari Malaysia 2021 lancar, patuh SOP

KOTA KINABALU, 15 Sept  — Raptai penuh sambutan Hari Malaysia 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam ini berjalan lancar dalam suasana norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Mohammad Mentek berkata segala persiapan rapi telah dijalankan dan beliau amat berpuas hati dengan segala komitmen serta kerjasama yang diberikan oleh agensi kerajaan Sabah.

“Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Sabah khususnya daripada agensi kerajaan negeri yang telah bertungkus lumus membuat persediaan daripada awal lagi bagi meraikan Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

“Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, sambutan Hari Malaysia biasanya diraikan dengan pelbagai acara termasuk perbarisan, perarakan dan persembahan besar-besaran namun disebabkan COVID-19 maka sambutan ini diadakan dalam skala kecil tetapi kemeriahan itu masih lagi terasa.

“Ini berdasarkan impak persembahan yang saya lihat tadi, banyak persembahan boleh meningkatkan semangat kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengingati sambutan bersejarah ini yang merupakan penyatuan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam pembentukan negara,” katanya kepada pemberita malam ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan raptai penuh sambutan itu yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong.

Mohammad, yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Malaysia 2021, berkata pihaknya akan memastikan penganjuran majlis itu mematuhi SOP ditetapkan termasuk penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka sebagai langkah mencegah jangkitan COVID-19.

Katanya orang ramai boleh mengikuti siaran langsung sambutan Hari Malaysia menerusi semua saluran televisyen tempatan.

Sabah sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2021 bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ pada tahun ini yang berlangsung di SICC bermula 8.35 malam esok.

Sambutan itu akan turut disiarkan menerusi platform digital dan media sosial bagi membolehkan semua rakyat Malaysia dapat bersama-sama meraikan hari bersejarah pembentukan negara pada 16 Sept 1963 meskipun dalam suasana pandemik COVID-19.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button