Wanita dan Keluarga

Rawatan HIFU Yang Pertama Di Malaysia, Tangani Senggugut, Pelihara Kesuburan Wanita

KUALA LUMPUR — Masalah senggugut atau kesakitan haid bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi kebanyakan wanita tanpa mengira usia selagi sistem reproduktifnya masih aktif.

Kejang perut, kembung, sakit pinggang serta pelbagai lagi adalah antara gejala yang dialami, dan tahap kesakitannya juga berbeza. Namun senggugut yang teruk boleh mengganggu kualiti kehidupan seseorang wanita. Malah menurut pakar obstetrik dan ginekologi, ada yang perlu mengambil ubat tahan sakit setiap kali haid.

Menurut mereka, umumnya kesakitan haid ini disebabkan masalah pada sistem peranakan, dan paling biasa ialah fibroid pada uterus dan adenomiosis, dua ketumbuhan benigna yang ditemukan pada rahim atau uterus.

Selain pengambilan ubat tahan sakit yang hanya memberi kelegaan sementara, ada kaedah rawatan lain yang boleh “membebaskan” wanita daripada senggugut seperti  miomektomi dan adenomiomektomi, dua prosedur melibatkan pembedahan namun berisiko menyebabkan komplikasi semasa hamil, selain alternatif yang lebih drastik iaitu histerektomi – prosedur membuang uterus.

Namun tidak ramai wanita yang sanggup menjalani prosedur terbabit. Justeru, apa lagi pilihan yang ada?

RAWATAN BAHARU BERI PILIHAN UNTUK “BEBAS” SENGGUGUT

Baru-baru ini, Mahkota Medical Centre (MMC) melancarkan kaedah rawatan berasaskan ultrabunyi yang pertama di negara ini – High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU) – khusus untuk menangani masalah ginekologi terutamanya adenomiosis dan fibroid.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi MMC Dr S. Selva ketika dihubungi Bernama, berkata HIFU merupakan kaedah rawatan tidak invasif yang menawarkan tempoh pulih lebih singkat selain tidak menjejaskan kesuburan wanita.

Tidak seperti prosedur lain, pesakit tidak perlu menunggu uterus mereka pulih sepenuhnya sebelum mencuba untuk hamil, jelas beliau, dan menambah HIFU merupakan penyelesaian terbaik yang dapat mengurangkan impak terhadap kesuburan serta risiko komplikasi yang dihadapi oleh wanita yang menjalani rawatan tipikal bagi fibroid dan adenomiosis.

“Menerusi teknologi HIFU ini, MMC mengubah landskap rawatan bagi wanita dengan opsyen rawatan tidak invasif dan canggih namun terbukti memberikan hasil positif secara klinikal selain mengekalkan tahap kesuburan mereka.

“Teknologi HIFU menggunakan tenaga bunyi tertumpu untuk memanaskan dan memusnahkan tisu sasaran. Teknologi ini digunakan bagi merawat pelbagai masalah kesihatan seperti batu karang, katarak, gangguan neurologi, nodul tiroid benigna, penyakit prostat dan tumor pepejal, selain digunakan dalam terapi paliatif. Dalam bidang ginekologi, teknologi HIFU boleh digunakan untuk merawat fibroid uterus dan adenomiosis,” katanya.

CEPAT SEMBUH DAN TANPA PARUT

Mengulas lanjut, Dr Selva berkata HIFU merupakan rawatan khas menggunakan transduser ultrabunyi berintensiti tinggi yang menumpukan gelombang bunyi di lokasi khusus, meningkatkan suhu setempat tisu daripada 60 darjah Celsius kepada 80 darjah Celsius dan menghasilkan nekrosis koagulatif tisu.

“HIFU dijalankan dengan berpandu sama ada pada Pengimejan Resonans Magnetik (MRgFUS) atau Ultrabunyi (USgHIFU) sebagai modaliti pengimejan bagi menyasarkan rawatan di kawasan fokus pada tisu dan pada masa sama mengelakkan kerosakan tisu-tisu lain.

“Kelebihan utama USgHIFU berbanding MRgFUS ialah kaedah tersebut menawarkan pengimejan pada masa sebenar, sekali gus membolehkan doktor melihat tisu yang berkenaan semasa prosedur dijalankan. Kaedah itu juga menggunakan transduser yang lebih besar dan lebih berkuasa, sekali gus memendekkan tempoh dan meningkatkan keberkesanan rawatan.

“USgHIFU turut memberikan akses lebih baik kepada pesakit selain fleksibiliti dalam posisi pesakit, justeru pesakit berasa lebih selesa, Selain itu, kaedah berkenaan juga lebih murah,” jelas beliau.

Memandangkan HIFU membabitkan prosedur tidak invasif, pesakit tidak memerlukan anestesia am semasa menjalani prosedur selain rawatan  juga tidak meninggalkan kesan parut pada pesakit.

Prosedur tersebut mempunyai tempoh pulih yang lebih singkat berbanding miomektomi dan histerektomi. Rawatan HIFU juga lebih sesuai bagi wanita yang berhasrat untuk hamil kerana prosedur berkenaan tidak menjejaskan otot dan tisu lain pada uterus.

Menurut Dr Selva, disebabkan teknologi HIFU tidak meninggalkan kesan parut yang banyak pada dinding uterus, pengembangan rahim semasa kehamilan dan kontraktiliti ketika proses melahirkan dapat dikekalkan.

“Sesi rawatan HIFU berdasarkan ultrabunyi berlangsung selama satu hingga empat jam, dan dalam kebanyakan kes, rawatan boleh dilakukan dalam satu sesi sahaja. Pesakit dengan jumlah fibroid yang banyak atau bersaiz besar mungkin memerlukan beberapa sesi. Prosedur ini juga tidak menyebabkan pesakit kehilangan darah, bermakna pemindahan darah tidak perlu.

“HIFU juga boleh mengurangkan risiko komplikasi berpotensi yang mungkin berlaku semasa pembedahan membuang adenomioma atau fibroid. Paling penting, pesakit yang berhasrat untuk hamil tidak perlu menunggu sehingga rahim mereka pulih sepenuhnya sebelum cuba mengandung,” katanya.

Selain itu, pesakit juga boleh mengadakan hubungan seks selepas kitaran haid yang seterusnya berakhir memandangkan beberapa kajian terkini menunjukkan pesakit berjaya hamil dalam tempoh beberapa bulan sahaja selepas menjalani rawatan HIFU, sama ada mengandung secara semula jadi atau dibantu melalui rawatan reproduktif.

MANFAAT KEPADA INDUSTRI PELANCONGAN PERUBATAN

Sementara itu, operator MMC, HMI Group menerusi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Chin Wei Jia, berkata rawatan tersebut turut ditawarkan di Singapura dan Hong Kong.

“Bagaimanapun kos rawatan adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia. Apabila sempadan antarabangsa dibuka dan pelancongan dibenarkan semula, kami menjangkakan peningkatan permintaan daripada pesakit di seluruh rantau Asia Tenggara untuk mendapatkan rawatan HIFU di MMC. Ini pastinya memberikan impak positif ke atas industri pelancongan di Malaysia, merentasi pelbagai sektor seperti hospitaliti dan perkhidmatan.

“Selain itu, sebagai ahli Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), MMC bekerjasama secara aktif dengan MHTC bagi mempromosikan ketersediaan rawatan HIFU dan manfaatnya kepada negara-negara tetangga. Ini akan memacu seterusnya pertumbuhan industri pelancongan perubatan kita,” katanya.

Chin juga menegaskan sebagai antara pusat perubatan yang mengutamakan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi, MMC sentiasa berusaha mencari kaedah baharu untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik demi kepentingan pesakit.

“Penawaran perkhidmatan HIFU mendekatkan lagi kami kepada matlamat memberikan hasil rawatan yang lebih baik kepada pesakit. Kami komited dalam memastikan kami sentiasa mengikuti trend terkini dalam industri dengan membawa masuk kemudahan lebih canggih yang menawarkan penjagaan terbaik kepada pelanggan kami, ini janji kami,” katanya.

Oleh Muhammad Basir Roslan

Diterjemah dan disunting oleh Noor Hayati Muda

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box
Back to top button