Berita

Rawatan Wad Kelas Tiga Percuma Buat Rakyat Terengganu Bulan Depan

118views

KUALA TERENGGANU, 16 Jun — Rakyat Terengganu akan mendapat rawatan perubatan wad kelas tiga secara percuma di semua hospital kerajaan di negeri ini bermula Julai ini.

Exco Kesihatan Negeri Dr Alias Razak berkata manfaat yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu melibatkan peruntukan sebanyak RM3.7 juta setahun ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Manfaat tersebut merangkumi bayaran katil, makan minum harian dan rawatan yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Namun ia tidak terpakai kepada pesakit yang berpindah daripada kelas dua atau satu ke kelas tiga yang mungkin sebelum ini ditanggung oleh majikan dan syarikat insuran. Rawatan seperti implan juga tidak termasuk namun pesakit kurang berkemampuan boleh memohon bantuan kepada pihak berkaitan seperti di Terengganu kita ada Tabung Darul Iman,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dr Alias berkata manfaat tersebut melibatkan 1,390 katil di enam buah hospital kerajaan di seluruh negeri iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah, Hospital Dungun, Hospital Kemaman, Hospital Hulu Terengganu, Hospital Besut dan Hospital Setiu.

Katanya, manfaat tersebut juga bertepatan dengan situasi semasa berikutan ramai terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 sehingga ada yang hilang punca pendapatan.

“Pada musim COVID-19 ini ada yang diberhentikan kerja, peniaga-peniaga kecil dan buruh juga tidak boleh bekerja. Sudahlah mereka hendak makan pun susah, apatah lagi kalau sakit dan dikenakan bayaran hospital pula, jadi ia lebih membebankan mereka,” katanya.

— BERNAMA

Source link