info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

RCEP Ditandatangani Setelah Lapan Tahun Rundingan

47views

KUALA LUMPUR, 15 Nov — Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akhirnya ditandatangani hari ini selepas melalui 31 pusingan rundingan dalam tempoh lapan tahun lepas.

Pemeteraian RCEP, yang merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar di dunia, melambangkan pencapaian penting dalam integrasi dan memperkasakan ekonomi 15 negara.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pemeteraian perjanjian itu menjadi bukti kepada pengukuhan sistem perdagangan pelbagai hala, selain memartabatkan agenda pembangunan Pertubuhan Perdagangan Dunia.

“RCEP akan menggalakkan, memudahkan dan melindungi iklim pelaburan negara-negara yang mengambil bahagian di rantau ini.

“Ini termasuk pertukaran maklumat dan menggalakkan langkah-langkah ketelusan untuk memudahkan perniagaan dan pelaburan di kawasan RCEP,” katanya kepada pemberita selepas pemeteraian RCEP di sini hari ini.

RCEP terdiri daripada 15 negara dengan gabungan penduduk seramai 2.2 bilion, atau hampir 29.7 peratus daripada penduduk dunia, dan mewakili US$24.8 trilion atau 28.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, berdasarkan data daripada Bank Dunia pada 2018.

RCEP menggabungkan dan menyelaraskan FTA ASEAN+1 sedia ada — termasuk Jepun, Korea Selatan, China, Australia dan New Zealand — menjadi perjanjian yang inklusif dan komprehensif.

Antara lain, perjanjian itu akan meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara rantau, mengukuhkan rantaian nilai serantau, serta memudahkan ketelusan, perkongsian maklumat dan menyelaraskan peraturan dan standard teknikal.

— BERNAMA

Source Link