Berita

Remaja Perempuan Maut Ditetak, Putus Tangan Kiri

115views

KUALA BERANG, 1 Nov — Seorang remaja perempuan ditemukan mati dengan kesan tetakan pada badan manakala tangan kirinya putus dalam kejadian di Lubuk Batu, Terlemong di sini hari ini.

Mangsa Siti Nur Surya Ismail, 19, ditemukan dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumah oleh adik perempuannya yang berusia 15 tahun semasa pulang dari sekolah pada kira-kira 2.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan pada 3 petang sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian mungkin berlaku pada kira-kira 9 pagi dan dipercayai mangsa dirompak berikutan sejumlah wang bernilai ratusan ringgit, dua beg tangan dan dua telefon bimbit mangsa lesap.

“Melihat kecederaan yang terdapat pada bahagian badan mangsa, dipercayai mangsa telah ditetak menggunakan senjata tajam, bagaimanapun pihak polis tidak menemui sebarang senjata yang digunakan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Marzhuki berkata jenayah itu mungkin dilakukan individu yang dikenali mangsa namun motif serta punca kejadian masih dalam siasatan.

Jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Bapa mangsa, Ismail Muda, 58, berkata ketika kejadian beliau tiada di rumah dan Siti Nur Surya sedang menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat menghidap kanser otak.

Beliau hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak kelima daripada tujuh beradik itu apabila dihubungi adik bongsu mangsa.

“Selalunya Siti Nur Surya yang akan menjemput adiknya pulang dari sekolah tetapi hari ini, beliau tidak datang dan tidak menjawab panggilan telefon sehingga anak bongsu saya terpaksa berjalan kaki pulang ke rumah.

“Selepas itu, barulah anak saya telefon bagitahu kakaknya tertiarap di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Ibu mangsa yang berusia 55 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

— BERNAMA

Source link