info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Rentas Daerah Ke Putrajaya Masih Tidak Dibenarkan

127views

KUALA LUMPUR, 2 Mac — Pergerakan rentas di antara Selangor dan Kuala Lumpur yang bertukar status dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKPB) adalah dibenarkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun berkata pergerakan dari dua negeri berkenaan ke Putrajaya, tidak dibenarkan.

“Seperti yang dilaksanakan sewaktu PKPB 1.0, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah dianggap satu zon. Pergerakan rentas antara Selangor ke Kuala Lumpur adalah dibenarkan.

“Bagaimanapun pergerakan dari Selangor atau Kuala Lumpur ke Putrajaya masih tidak dibenarkan kerana Putrajaya berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Ini bagi melindungi Putrajaya daripada penularan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail Sabri berkata, pergerakan dari Selangor atau Kuala Lumpur ke Putrajaya masih memerlukan kebenaran polis kecuali bagi mereka yang bekerja dan mempunyai surat majikan.

Pada sidang media petang tadi, beliau mengumumkan Selangor, Kuala Lumpur dan dua lagi negeri iaitu Johor dan Pulau Pinang ditukar status daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada PKPB.

Negeri lain iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak kekal di bawah PKPB manakala Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan ditukar status kepada Peringkat Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pelaksanaan PKPB dan PKPP bagi negeri berkenaan berkuat kuasa 5 Mac hingga 18 Mac ini kecuali Sarawak bermula 2 Mac hingga 15 Mac ini.

Source Link