info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Restoran Pamer Unsur Komunis Diserbu Polis

88views

GEORGETOWN, 3 Jan — Polis sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik sebuah restoran yang menghias dua premisnya masing-masing di Auto City dan Pulau Tikus dengan kertas dinding memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, berkata siasatan dijalankan setelah polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung perkara itu.

“Kita sudah membuka kertas siasatan untuk kedua-dua kes, satu di sini dan satu lagi di daerah Seberang Prai Tengah.

“Kita belum menghubungi pemilik restoran berusia 40 tahun untuk soal siasat kerana di bawah kuarantin COVID-19,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana menerbitkan propaganda sebuah pertubuhan haram.

Selain itu, kes terbabit juga disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menerbit atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Semalam, tular gambar hiasan dalam sebuah restoran yang memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis dalam media sosial sehingga menimbulkan pertikaian warganet.

Ramai pihak mendesak tindakan tegas diambil terhadap pemilik restoran terbabit dan ada juga mahu kewarganegaraan individu terbabit ditarik.

Kertas dinding di restoran terbabit kemudiannya sudah pun ditanggalkan oleh polis.

Source Link