BeritaPolitik

Ringkasan Berita Dewan Rakyat: 30 Sept

KERAJAAN TIDAK KOMPROMI ADAKAN LIBAT URUS RANG UNDANG-UNDANG ANTI LOMPAT PARTI

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Kerajaan akan memastikan cadangan dan input semua pihak terlibat diperhalusi dan dipertimbangkan sebelum menetapkan hala tuju dan parameter penggubalan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi  Tuanku Jaafar berkata ia bagi memastikan rang undang-undang itu tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang lain yang berkuat kuasa termasuk di peringkat negeri.

“Jabatan Perdana Menteri dengan Jabatan Peguam Negara akan mengkaji penyediaan undang-undang bagi menangani isu lompat parti. Kerajaan beri jaminan rang undang-undang yang termasuk dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ini akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Parlimen hari ini, menjawab soalan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan berhubung status penyediaan Rang Undang-Undang  Anti Lompat Parti.

UNDI18: PENDAFTARAN AUTOMATIK DILAKSANA BERDASAR KEPUTUSAN MAHKAMAH

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) komited untuk memastikan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan berdasarkan kepada keputusan mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata SPR sedang dalam persiapan untuk melaksanakan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diluluskan Parlimen pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-14.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang ingin tahu perkembangan persediaan kerajaan ke arah melaksanan undi 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik.

Pada 3 Sept lepas, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun.

PARLIMEN: MKN SEMAK DASAR PENGURUSAN PEMOHON SUAKA KAD UNHCR

KUALA LUMPUR, 30 Sept  — Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama kementerian dan agensi berkaitan sedang melaksanakan semakan semula, penambahbaikan serta memperkemaskan dasar dan mekanisme pengurusan pelarian dan pemohon suaka yang memegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata penambahbaikan turut mengambil kira input dan pandangan daripada pelbagai pihak dan pihak berkepentingan agar dasar dan mekanisme yang lebih efisien dapat diwujudkan.

“Antara cadangan penambahbaikan yang dirangka membabitkan penetapan keahlian jawatankuasa-jawatankuasa, penyelarasan perundangan, koordinasi gerak kerja, pendaftaran dan dokumentasi.

Selain itu, pembentukan mekanisme bagi isu membabitkan kebajikan, sokongan dan kehidupan bagi tempoh sepanjang keberadaan sementara mereka di Malaysia sebelum pulang semula secara sukarela ke negara asal atau ditempatkan ke negara ketiga turut ditambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Parlimen hari ini, menjawab soalan June Leow Hsiad Hui (PH-Hulu Selangor) mengenai keputusan kerajaan dalam soal membenarkan pelarian dari luar negara untuk bekerja di Malaysia.

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button