Berita

RMK12 akan pulihkan kembali kerancakan perniagaan pasca COVID-19

KUALA LUMPUR, 28 Sept — AmBank Research menyambut baik fokus Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) terhadap pembaharuan berorientasikan pasaran, sambil menyatakan terdapat keperluan mendesak untuk menghidupkan kembali kedinamikan perniagaan menerusi pembaharuan peraturan.

Ia berkata ini adalah selaras dengan usaha untuk mencapai pemulihan pasca COVID-19 yang kukuh kerana risiko pandemik masih ada.

Menurut firma penyelidikan itu, pembaharuan diperlukan walaupun Malaysia adalah negara yang mesra perniagaan yang boleh menarik aliran pelaburan langsung asing yang besar dan berintegrasi dengan baik dalam rantaian nilai global.

“Langkah-langkah yang dimulakan di bawah rancangan ini sangat penting untuk mendorong pertumbuhan di dunia pasca pandemik dan menempatkan Malaysia pada tahap yang lebih baik kerana persaingan yang kukuh tetap menjadi komponen penting dalam kedinamikan perniagaan yang akan membantu kepada pengurangan kos, inovasi dan meningkatkan pertumbuhan produktivit,”’ katanya dalam satu nota penyelidikan di sini.

Untuk menjadikan perniagaan terus dinamik, ia menambah fokus utama adalah memudahkan firma baharu memasuki pasaran atau pengusaha memulakan perniagaan baharu.

“Ketika negara beralih ke status berpendapatan tinggi, sumber pertumbuhan di masa depan semakin perlu beralih ke arah peningkatan inovasi dan produktiviti.

“Justeru, adalah penting untuk meningkatkan lagi dinamik perniagaan sambil memastikan persekitaran peraturan yang mendorong persaingan yang efektif untuk pertumbuhan dan kelestarian jangka panjang negara,” katanya.

Dan tanpa mengira senario semasa, AmBank Research terus menyatakan Malaysia tetap berdaya saing dalam menarik pelabur asing.

Ia berkata dalam separuh pertama tahun 2021, negara ini menarik pelaburan bernilai RM107.5 bilion dari sektor pembuatan dan perkhidmatan, meningkat dengan ketara sebanyak 69.8 peratus berbanding RM63.3 bilion untuk tempoh yang sama pada tahun 2020.

Pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang 58.1 peratus atau RM62.5 bilion berbanding RM19.8 bilion untuk tempoh yang sama pada tahun 2020.

“RMK12 bersedia untuk mengemudikan ekonomi ke fasa pertumbuhan berikutnya, fokus pada pelaburan berkualiti tinggi dan nilai tambah yang akan memacu produktiviti, penekanan pada pengembangan bakat dan dasar yang didorong oleh perniagaan untuk menyokong pertumbuhan akan terus menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang strategik.

“Kami tetap optimis meskipun terdapatnya penempatan semula beberapa FDI baru-baru ini disebabkan oleh banyak faktor seperti rasionalisasi perniagaan atau dasar yang berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan,” tambahnya.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button