Berita

RMNOA serah bantuan kewangan kepada lagenda negara bidang pelayaran kapal TLDM

176views

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Persatuan Bekas Pegawai-pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (RMNOA) menyerahkan bantuan kewangan kepada Komander (Bersara) Che Ismail Che Ahmad, yang merupakan lagenda negara bidang pelayaran kapal Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini, semalam.

Presiden RMNOA Laksamana (Bersara) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor menyerahkan bantuan itu kepada anak perempuan Che Ismail, Suhaila yang menguruskan soal kebajikan ayahnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, RMNOA berkata pihaknya sentiasa memantau dan mengambil berat akan kebajikan bekas-bekas pegawai TLDM.

Menurutnya, Che Ismail, yang merupakan seorang bekas pegawai kanan TLDM telah menabur bakti berkhidmat selama 33 tahun, sedang mengalami pelbagai komplikasi penyakit kencing manis, strok otak kanan, gout, arthritis serta darah tinggi telah menjalani tiga kali pembedahan termasuk pemotongan kaki di bawah lutut.

RMNOA berkata, Che Ismail yang lebih dikenali sebagai CIA, juga merupakan seorang ex-boy ( Old Putera, Maktab Tentera DiRaja Malaysia) amat disegani dan dihormati di kalangan veteran-veteran TLDM dan ATM sehingga kini.

Kenyataan itu berkata, sumbangan Che Ismail kepada negara terutama sekali kepakaran beliau mengendalikan kapal-kapal besar Tentera Laut Diraja Malaysia contohnya KD Raja Jarom (dilupuskan) dikatakan tiada tandingannya.

“Beliau juga amat disanjungi di kalangan pegawai-pegawai muda semasa bertugas, sebagai seorang pemimpin yang tidak pernah kedekut ilmu.

“Ilmu pelayaran beliau yang begitu hebat turut diturunkan kepada pegawai-pegawai anak-anak kapal seluruhnya. Ketegasan beliau, disiplin ketenteraan yang begitu mantap, sentiasa di kagumi.

“Che Ismail Che Ahmad kini di umpamakan sebagai lagenda negara bidang pelayaran kapal Tentera Laut Di Raja Malaysia oleh rakan-rakan veteran.

“Beliau sentiasa menitik beratkan pembacaan untuk memantapkan ilmu pengetahuan,” kata kenyataan itu.

— BERNAMA

Source link