
RTM kekal medium utama kerajaan sampaikan maklumat benar, sahih
KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Radio Televisyen Malaysia (RTM) kekal menjadi medium utama kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang benar dan sahih kepada rakyat, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.
Justeru, Teo berkata selari dengan peranan penting agensi berkenaan serta perkembangan digitalisasi, industri penyiaran juga harus berkembang mengikut keperluan semasa.
“RTM mainkan peranan cukup penting khasnya untuk bantu kerajaan sampaikan maklumat yang betul dan sahih kepada rakyat Malaysia secara percuma kerana di luar sana memang ada banyak saluran tetapi ia berbayar.
“Jadi, kerana itu (RTM) menjadi platform utama kerajaan…Saya kagum melihat pelbagai platform yang telah disediakan RTM bukan sahaja siaran televisyen tetapi radio nasional dan negeri dalam pelbagai bahasa, ini bagi memastikan tiada golongan yang rasa terpinggir,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Angkasapuri hari ini.
Menurut Teo digitalisasi dalam penyampaian informasi sangat penting dan perkara itu juga dilihat selari dengan hala tuju RTM.
Terdahulu Teo tiba di Wisma TV RTM pada 1.55 petang dan disambut Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Operasi Penyiaran) RTM Putri Joliana Yaacob dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik dan Industri Kreatif) RTM Mastura Ahmad Mustafa serta petugas.
Beliau kemudian diberi taklimat mengenai peranan dan operasi agensi itu oleh Putri Joliana.
Taklimat selama lebih satu jam itu merupakan taklimat kali pertama Teo bersama pengurusan tertinggi Jabatan Penyiaran Malaysia selepas dilantik Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital.
— BERNAMA