info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Rugi Lebih RM109,000 Ditipu Skim Pelaburan Yang Diiklan Di Facebook

26views

ALOR SETAR, 8 Dis — Seorang pesara guru kerugian lebih RM109,000 selepas diperdaya dua wanita yang kononnya menawarkan mangsa bimbingan melalui aplikasi WhatsApp untuk menjalankan pelaburan pertukaran mata wang asing.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Supt Elias Omar berkata mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 62 tahun pada mulanya berurusan dengan seorang wanita yang mendakwa sebagai pengurus sebuah syarikat swasta pada awal bulan lepas.

“Mangsa telah melihat iklan pelaburan di Facebook yang kononnya menawarkan pulangan berlipat kali ganda berkaitan pertukaran wang asing yang turut menyediakan bimbingan percuma melalui media sosial.

“Suspek yang memperoleh kepercayaan mangsa telah mengarahkan mangsa menyerahkan dokumen peribadi iaitu gambar kad pengenalan, lesen memandu dan penyata akaun bank sebagai syarat pendaftaran dalam skim pelaburan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian dibekalkan satu pautan dan diarahkan membuat bayaran pendaftaran sebanyak USD100 bersamaan RM424.51 dan selepas itu diberitahu oleh suspek bahawa pendaftarannya telah diluluskan.

Elias berkata mangsa seterusnya telah berurusan dengan seorang lagi suspek wanita yang kononnya bertindak sebagai pembimbing untuk membantu menguruskan pelaburannya menerusi satu aplikasi lain dan mangsa telah membuat lima lagi transaksi yang keseluruhannya berjumlah RM108,726.09.

Katanya, pada Jumaat lepas mangsa mendapati pelaburannya gagal mendapat pulangan lumayan yang dijanjikan dan telah mengarahkan anak serta isterinya mengeluarkan wang daripada akaun mereka untuk tujuan pelaburan itu.

“Anak mangsa telah membuat carian maklumat mengenai syarikat tersebut dan akhirnya mengetahui syarikat itu merupakan sindiket penipuan, mangsa telah membuat laporan di sebuah balai polis di Kubang Pasu semalam,” katanya yang turut menyatakan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Elias menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang skim pelaburan dalam talian yang diiklankan menerusi media sosial serta menjanjikan pulangan lumayan.

“Pihak polis ingin mengingatkan agar orang ramai membuat semakan dan mendapatkan maklumat lanjut terlebih dahulu daripada aplikasi ‘Semak Mule’ bagi mengelakkan mereka ditipu,” katanya.

— BERNAMA

Source link