info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Rumah Ronald McDonald Di Hospital Tunku Azizah Kini Dibuka

80views

KUALA LUMPUR, 28 Mei — Rumah Ronald McDonald ketiga di negara ini kini membuka pintu secara rasmi kepada keluarga pesakit pediatrik yang menjalani rawatan di Hospital Tunku Azizah di sini.

Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia dalam kenyataan menyebut rumah berkenaan bertujuan memenuhi keperluan keluarga pesakit kanak-kanak dari luar Kuala Lumpur, di samping membantu meringankan beban kewangan mereka dengan menyediakan penginapan pada harga hanya RM15 semalam.

Terletak di tingkat 10 kompleks parkir hospital itu, rumah ini dilengkapi 20 bilik keluarga yang mampu memuatkan sehingga 80 penghuni selain ruang makan, ruang rehat, dapur, bilik dobi, surau dan ruang permainan.

“Apa yang penting rumah ini menawarkan persekitaran kondusif dan selesa kepada pesakit semasa menjalani pemulihan dan lokasinya di kawasan hospital memudahkan pesakit mendapatkan rawatan dan berada dekat dengan keluarga mereka,” menurut kenyataan itu.

Keluarga yang berminat untuk menginap di Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah boleh menghubungi talian 03-2692000 untuk maklumat lanjut.

Selain di Hospital Tunku Azizah, dua lagi Rumah Ronald McDonald terletak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia di sini telah beroperasi lebih 20 tahun dan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan yang dibuka pada 2019.

Pada masa ini, terdapat lebih 370 Rumah Ronald McDonald di seluruh dunia yang menyediakan penginapan kepada keluarga pesakit di hospital.

Dalam pada itu, Presiden RMHC Malaysia Azmir Jaafar berkata pembiayaan kesemua rumah itu hasil sumbangan pelanggan McDonald’s menerusi kotak duit syiling RMHC yang terdapat di lebih 300 restoran McDonald’s di seluruh negara serta sumbangan warga kerja, rakan niaga dan francaisi McDonald’s.

Menurutnya, sumbangan juga boleh dibuat melalui kios pesanan sendiri di restoran McDonald’s dan pemindahan dana ke akaun RMHC Malaysia melalui Maybank, gerbang pembayaran PayPal, Shopee atau platform e-dompet Boost dan Touch ‘N Go.

Mereka yang berminat menderma atau bekerjasama dengan RMHC Malaysia bagi membantu kanak-kanak Malaysia dan keluarga mereka juga boleh menghubungi RMHC Malaysia di talian 03-7843 3388.

Azmir yang juga Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia turut mengalu-alukan orang ramai untuk menjadi sukarelawan di Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah atau Rumah Ronald McDonald berhampiran mereka.

— BERNAMA

Source link