Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaSabah pohon RM265 juta baiki jalan rosak

Sabah pohon RM265 juta baiki jalan rosak

KINABATANGAN, 21 Mei (Bernama) — Kerajaan Sabah telah memohon RM265 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk membaiki jalan raya yang rosak di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Menteri Kerja Raya Negeri, berkata pihaknya turut bersimpati dengan rungutan rakyat terutama pengguna jalan yang terkesan dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di pantai timur Sabah.

“Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam dan beliau telah memaklumkan Kementerian Kewangan (mengenai permohonan peruntukan).

“Peruntukan ini (RM265 juta) untuk membaiki jalan, bukan untuk menaik taraf sebab kalau menaik taraf, jalan itu akan dirobohkan semula dan akan ada jajaran baharu,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbukanya sempena Aidilfitri di sini hari ini.

Bung Moktar berkata kerja membaiki jalan yang rosak itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun setengah.

Jalan raya di pantai timur Sabah terutama antara daerah Telupid dan Sandakan yang juga laluan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, mengalami kerosakan teruk kerana tidak diselenggara dengan baik sejak negara melalui beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular