info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

SADA jimat RM3.65 juta selepas perjanjian konsesi Taliworks Langkawi berakhir

81views

SIK, 1 Nov — Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan dapat penjimatan sebanyak RM3.65 juta sebulan mulai bulan ini selepas perjanjian konsesi selama 25 tahun bersama Taliworks Langkawi Sdn Bhd (Taliworks Langkawi) tamat semalam.

Taliworks Langkawi telah menguruskan bekalan air di Langkawi selama 25 tahun.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata SADA sebelum ini membayar kos operasi sebanyak RM5.4 juta sebulan kepada syarikat konsesi tersebut.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM2 juta dibayar menggunakan hasil air diperoleh daripada pulau itu manakala sebanyak RM3.4 juta terpaksa ditampung menerusi pendapatan SADA di Kedah.

Selepas SADA mengambil alih operasi, kos pengurusan air di Langkawi dijangka turun kepada RM1.75 juta.

“Kos konsesi yang ditanggung sebelum ini telah menjadi bebanan namun itu merupakan terma perjanjian selama 25 tahun, Alhamdulillah, kami yakin SADA menguruskannya dengan baik,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPPK) peringkat negeri Kedah di Dewan Al-Hana di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi SADA berkata SADA akan mengambil alih semua pengurusan air di Langkawi mulai bulan ini, ia termasuk kerja-kerja teknikal iaitu penyelanggaraan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Baru, paip air sepanjang 46 kilometer, agihan bekalan ke akaun pengguna serta pengurusan bil air.

SADA sangat komited untuk menjana pendapatan yang lebih baik selain berusaha untuk membayar hutang kepada kerajaan pusat.

— BERNAMA

Source link