Jenayah

Sajat Miliki Kad Pelarian UNHCR

GOMBAK: Bukit Aman hari ini mendedahkan gambar kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang dipegang Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat.

Selain itu, polis turut mendedahkan dua gambar menunjukkan Nur Sajat sedang diambil keterangan ketika ditahan pihak berkuasa Thailand pada 8 September lalu di sebuah lokasi di Bangkok.

Menjelaskan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata Nur Sajat membuat permohonan status pelarian ketika bersembunyi di negara itu.

“Nur Sajat disahkan ditangkap pihak berkuasa Thailand di Bangkok pada 8 September lalu atas kesalahan melanggar syarat imigresen.

“Jabatan Imigresen telah membatalkan pemilikan pasport antarabangsa milik Sajat, justeru kemasukannya ke negara Thailand adalah secara tidak sah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Dalam tempoh berada di negara jiran itu dengan kemasukan secara tidak sah ke negara itu, Nur Sajat memohon status pelarian daripada UNHCR dan permohonannya berjaya.

“Nur Sajat kini sedang menunggu tawaran daripada pihak negara ketiga bagi membantu dia untuk ditempatkan di negara ketiga itu.

“Bagaimanapun, kita meneruskan tindakan undang-undang dalam usaha kita membawa pulang Sajat ke negara ini untuk pertuduhan dihadapinya,” katanya yang turut memaklumkan proses permohonan untuk mengektradisi Sajat sedang dilakukan.

Permohonan untuk ektradisi Nur Sajat kini dalam proses kerana ia akan membabitkan Peguam Negara, Kementerian Luar dan kedutaan Malaysia di negara Gajah Putih itu.

Kini terpulang kepada Thailand untuk memenuhi permintaan polis Malaysia berhubung permohonan ekstradisi itu.

Dalam pada itu, Abd Jalil berkata, pihaknya juga dimaklumkan Nur Sajat sudah menggunakan nama samaran ‘Bella’ namun dirinya tetap orang yang sama.

Terdahulu, Harian Metro memetik sumber mendedahkan kad pelarian Nur Sajat bernombor 815-21C00071 itu dikeluarkan UNHCR di Bangkok dengan bantuan ibu pejabat mereka di Malaysia.

Laporan itu menyebut Nur Sajat sedang dibantu negara tertentu dan pertubuhan antarabangsa termasuk UNHCR di Bangkok dan Malaysia untuk mendapatkan kebenaran berpindah ke Australia.

Mengulas lanjut, Abd Jalil memaklumkan kes yang dihadapi Nur Sajat adalah kes yang kecil membabitkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis iaitu menghalang tugas penjawat awam, maka sewajarnya Nur Sajat dinasihatkan untuk pulang.

“Kita minta keluarganya membantu polis dengan menasihatkan Nur Sajat agar pulang ke tanah air untuk menghadapi pertuduhan yang pada pandangan pihak berkuasa, ia tidaklah seberat mana.

“Kita yakin keluarga boleh membantu Nur Sajat untuk pulang ke negara ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Nur Sajat ditahan Imigresen Thailand pada 8 September lalu kira-kira jam 6 petang kerana memiliki pasport tidak sah.

Nur Sajat kemudian dikatakan dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan Imigresen di negara itu.

Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September, bagaimanapun dibebaskan pada keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab pada 23 Februari lalu.

Dia dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Source Link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button