Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaSakit tulang belakang tidak halang Wan Muhammad Akram cemerlang dalam SPM

Sakit tulang belakang tidak halang Wan Muhammad Akram cemerlang dalam SPM

JELI, 18 Jun (Bernama) — Menderita sakit tulang belakang sejak berusia 16 tahun tidak menghalang pelajar Sekolah Menengah Sains Jeli, Wan Muhammad Akram Zahid mencatat kejayaan cemerlang dengan memperoleh 9A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Wan Muhammad Akram, 18, yang mengalami ‘prolapsed intervertebral disc’ berkata dia sama sekali tidak menyangka mampu mencapai kejayaan itu memandangkan pernah berputus asa untuk meneruskan persekolahan kerana memikirkan terpaksa menyusahkan ibu bapanya, guru dan rakan.

“Saya pernah terfikir apa gunanya belajar bersungguh-sungguh sedangkan saya tidak boleh bekerja dengan baik disebabkan sakit ini.

“Namun, saya kuatkan semangat dan tidak akan sesekali mengalah kerana ingin membalas jasa kedua-dua ibu bapa yang sanggup berkorban untuk saya,” katanya ketika ditemui Bernama di sekolah berkenaan baru-baru ini.

Anak bongsu daripada empat beradik dan berasal dari Kampung Laut, Tumpat itu berkata masalah kesihatan itu menyebabkan dia tidak boleh duduk di kerusi dan berdiri terlalu lama dalam tempoh 10 minit malah pernah belajar secara meniarap di asrama sekolah.

“Saya pernah tidak hadir ke sekolah selama dua bulan kerana masalah kesihatan ini dan terpaksa mengikuti kelas tuisyen secara dalam talian supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana menyediakan kerusi khas untuk membolehkan saya duduk dengan selesa dan lebih lama ketika proses pembelajaran di dalam kelas,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor pakar tulang.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular