BeritaBerita Semasa

Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Dapat Liputan Akhbar Perdana Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 2 Sept — Keharmonian kaum dan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan ke-64 dalam suasana Malaysia masih bergelut dengan pandemik COVID-19 mendapat liputan ‘Okaz’, sebuah akhbar harian utama di Arab Saudi menerusi portalnya semalam.

Ruangan ‘Multimedia’ pada muka depan portal berkenaan memaparkan satu klip video yang mengandungi gelagat ‘sporting’ rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang dalam menyatakan kegembiraan mereka sempena Hari Kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos.

Klip itu juga diiringi kapsyen yang diambil daripada beberapa petikan Perutusan Hari Kebangsaan 2021 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diterjemah ke bahasa Arab.

Antara yang menarik kelihatan menerusi video berdurasi 1 minit 5 saat itu ialah slaid gambar kakitangan dan petugas di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) mengibarkan Jalur Gemilang sambil menari dengan mengenakan pakaian tradisional.

Video itu turut memaparkan laluan ke Bangunan Perdana Putra yang menempatkan pejabat Perdana Menteri dihiasi lampu berwarna-warni di sepanjang Jambatan Putra dan Jambatan Seri Saujana yang memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan negara.

“Malaysia menyambut Hari Kebangsaannya dengan memastikan keharmonian (kekal terpelihara) antara pelbagai budaya dan kaum (walaupun masih) dalam (kemelut) menghadapi COVID-19 dan berbagai cabaran”, demikian ulasan ‘Okaz’ pada video berkenaan.

“Malaysia… Hari Kebangsaan (yang disambut) dengan semangat Sebuah Keluarga,” menurut kapsyen tertera pada permulaan klip video yang memaparkan seorang lelaki menggantung Jalur Gemilang pada siling rumahnya.

Antara terjemahan kapsyen pada paparan berikutnya mengikut turutan ialah ‘Beberapa PPV (mengadakan) persembahan seni untuk meraikan sambutan tersebut, (petikan ucapan) Perdana Menteri: “Kini kita berdepan beberapa cabaran serentak…saya ingin mengajak keluarga Malaysia menyusuri sejarah perjuangan bangsa mempertahankan kemerdekaan…”.

Terjemahan lain ialah “…hanya menerusi kerjasama penuh (daripada semua pihak) sebagai ‘Sebuah Keluarga’, semua cabaran akan berakhir dengan kemenangan…” dan “Warga Malaysia: Hari Kebangsaan memberi inspirasi kepada kita untuk melawan wabak ini”.

Klip video itu kemudian diakhiri dengan paparan Menara Berkembar Petronas (KLCC), bangunan yang menjadi antara mercu tanda kebanggaan rakyat Malaysia, dengan iringan kapsyen, “Daripada pondok kayu sehinggalah bangunan pencakar langit dihiasi bendera Malaysia (Jalur Gemilang)”.

Video berkenaan boleh ditonton pada pautan https://www.okaz.com.sa/media/gallery/multimedia/video/208059.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button