Berita

Sandra Lindsay, Orang Pertama AS dapatkan Vaksin COVID-19

154views

NEW YORK, 15 Dis — Amerika Syarikat (AS) memulakan vaksinasi secara besar-besaran, semalam, dalam usaha genting untuk membasmi jangkitan COVID-19 yang sudah meragut lebih 300,000 nyawa di negara ini.

Jururawat dari New York, Sandra Lindsay, muncul orang pertama di AS yang menerima suntikan vaksin dihasilkan Pfizer-BioNTech, dan proses itu disiarkan secara langsung melalui televisyen.

“Ia tidak terasa berbeza dengan sebarang pengambilan vaksin lain.

“Saya berharap ini menandakan permulaan kepada pengakhiran tempoh getir amat menyakitkan dalam sejarah kita,” kata Lindsay yang bertugas sebagai jururawat penjagaan kritikal di Pusat Perubatan Long Island Jewish.

Ketika ini, dunia terus bergelut dengan ancaman pandemik COVID-19 yang menyaksikan AS serta banyak negara lain mencatat lonjakan kes.

Malah, pakar kesihatan masih bertungkus lumus menangani pelbagai isu berkaitan seperti skeptisisme terhadap vaksin, ‘keletihan’ menjalani perintah berkurung serta masalah pematuhan kepada peraturan keselamatan.

Semalam, Belanda bersiap siaga melaksanakan perintah berkurung paling ketat sejak negara itu dilanda wabak berkenaan.

Britain pula mengumumkan sekatan baharu untuk mengekang penularan di London, manakala Turki akan menguatkuasakan perintah berkurung selama empat hari ketika cuti tahun baharu.

Menurut penjumlahan oleh Universiti Johns Hopkins, AS kekal menjadi negara paling terkesan di dunia dengan jumlah kes dilaporkan kini mencecah 16.3 juta.

Dalam pada itu, vaksinasi turut dijalankan di Pennsylvania dan Ohio, sementara Kanada memberikan dos vaksin pertama kepada seorang pengasuh di Montreal. – AFP

Source Link