info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Sarawak Energy Terima SSL Bernilai RM100 Juta

52views

KUALA LUMPUR, 22 Okt  — Sarawak Energy Bhd memperoleh pinjaman berkaitan kelestarian (SLL) bernilai RM100 juta dalam bentuk kemudahan kredit pusingan daripada CIMB Bank Bhd, menjadikannya syarikat utiliti pertama di negara ini dan syarikat dari Malaysia Timur pertama memperoleh pinjaman berkaitan dengan sasaran prestasi kelestarian boleh diukur (SPT).

Pengumuman itu dibuat menerusi majlis penerimaan SLL maya semasa sesi Fireside Chat dengan Sarawak Energy, bersempena dengan sidang kemuncak ‘The Cooler Earth Sustainability Summit 2020’ CIMB.

Pengerusi Sarawak Energy Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi berkata menerusi pendekatan lebih strategik kepada usaha kelestarian, ia mewujudkan nilai kepada semua pemegang kepentingannya dengan menguruskan risiko dan peluang jangka panjang.

“Pinjaman berkaitan kelestarian ini mengesahkan lagi usaha kami dalam kelestarian — bukan hanya baik bagi alam sekitar tetapi juga kepada perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SLL itu adalah berasaskan kepada SPT yang bertujuan menambah baik prestasi alam sekitar dan sosial Sarawak Energy dari tahun kewangan 2020 hingga tahun kewangan 2023 dan berfungsi sebagai peringatan kepada Sarawak Energy untuk mengekalkan intensiti pelepasan gridnya sejajar dengan Perjanjian Paris dan ikrar pemaju tenaga boleh diperbaharui kepada ‘Business Ambition for 1.5°Celsius’.

Ia juga membantu Sarawak Energy kekal berada di landasan untuk meneruskan matlamatnya menyediakan bekalan eletrik sepenuhnya di Sarawak menjelang 2025, kata kenyataan itu.

CIMB akan memberikan rebat bagi faedah pinjaman sekiranya SPT yang dipersetujui sebelum ini dipenuhi.

“Sarawak Energy berhasrat menggunakan rebat faedah yang diterima daripada CIMB bagi program kelestarian belianya sebagai usaha untuk menyumbang kembali kepada masyarakat,” kata kenyataan itu.

— BERNAMA

Source link