BeritaSukan

Sarawak United atasi Pahang 1-0

KUALA LUMPUR, Sept 29 — Sarawak United kekal menjadi pasukan kuda hitam saingan Piala Malaysia musim ini, apabila sekali lagi berjaya mencipta kejutan menentang pasukan Liga Super, Sri Pahang FC menerusi kemenangan tipis 1-0 pada malam ini.

Pada aksi Kumpulan A yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, pemain berusia 26 tahun Tommy Mawat Bada muncul wira pasukan naib juara Liga Premier itu, apabila rembatan kaki kirinya gagal diselamatkan oleh penjaga gawang skuad Tok Gajah, Zarif Irfan Hashimuddin pada minit ke-60.

Ahad lalu, Sarawak United membuka kempen Piala Malaysia dengan menewaskan Penang FC 3-1 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Penang pula diikat 1-1 oleh Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang dalam satu lagi aksi kumpulan sama menerusi jaringan Romel Morales pada masa kecederaan (90+3).

Skuad Harimau Kumbang terlebih dahulu memecahkan kebuntuan jaringan menerusi penyerang import dari Tajikistan, Sheriddin Boboev pada minit ke-77.

Keputusan malam ini menyaksikan Sarawak United berada di kedudukan teratas kumpulan dengan enam mata, diikuti KL (4), Penang (1) dan Pahang di tempat terakhir tanpa sebarang mata.

Sementara itu, Terengganu FC terus kekal menerajui Kumpulan B selepas mengatasi juara 33 kali, Selangor FC 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Skuad Penyu yang sebelum ini mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Kuching City FC pada Ahad lalu, membuka jaringan menerusi rembatan dari luar kotak, Dechi Marcel pada minit ke-22.

Bersambung babak kedua, Lee Tuck menggandakan jaringan pada minit ke-51, sebelum Gergasi Merah merapatkan jurang menerusi Mohamad Ashmawi Md Yakin pada minit ke-75, tetapi tidak cukup untuk membawa pulang mata.

Perak FC pula terpaksa bangkit sebanyak dua kali untuk mengikat Kuching City FC 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, sekali gus berjaya mencuri satu mata.

Kuching yang turun selaku tuan rumah, membuka jaringan menerusi penyerang import dari Brazil, Hudson Jesus seawal minit kesembilan, sebelum skuad Bos Gaurus menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Muhammad Adib bin Abdul Ra’op pada minit ke-48, selepas Nana Poku dijatuhkan oleh Aylton Ferreira Ananias.

Pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim kembali mendahului perlawanan menerusi sepakan percuma jarak jauh Muhammad Alif Hassan, yang gagal diselamatkan oleh Muhammad Azri bin Ab Ghani pada minit ke-67, namun keriangan itu hanya bertahan tiga minit apabila Mohamad Aizat Safuan Razali berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-70.

Terengganu kekal di kedudukan teratas dengan enam mata, diikuti Selangor (3), Perak dan Kuching City yang masing-masing meraih satu mata.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button