Berita

Sayur Tersekat Di Sempadan Punca Harga Sayur Meningkat

126views

JERTIH, 7 Feb — Kesukaran membawa masuk beberapa jenis sayuran dari Thailand ke Malaysia dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan berlaku kenaikan harga berbanding hari biasa.

Tinjauan di Pasar Bandar Jertih mendapati beberapa jenis sayuran mengalami peningkatan harga disebabkan kesukaran pemborong membawa masuk bahan mentah.

Seorang peniaga sayur yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu, 20-an, berkata antara sayuran yang mengalami kenaikan harga antaranya kacang botol daripada RM15 ke RM20 sekilogram dan batang saderi naik daripada RM8 kepada RM10.

“Jika dibandingkan dengan awal pelaksanaan PKP, kini kami sedikit lega apabila jumlah sayuran yang naik harga semakin berkurangan.

“Kini pemborong lebih mudah bergerak selepas kerajaan melonggarkan beberapa syarat untuk membenarkan penghantaran hasil pertanian,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Katanya, walaupun tidak meletakkan tanda harga khusus pada setiap sayuran namun mereka menyediakan satu papan sebut harga secara keseluruhan untuk mengemas kini harga setiap hari.

“Kebanyakan sayuran yang dijual di sini diambil dari pemborong di Kota Bharu, Kelantan dan setakat ini bekalan sayur masih mencukupi,” katanya.

Sementara itu seorang peniaga sayur di Kampung Padang Luas, Tamini Halim, 40, berkata, antara sayuran yang mengalami kenaikan harga adalah tomato dan cili besar.

“Tomato dan cili besar mengalami kenaikan antara RM2 hingga RM3 sekilogram.

Katanya, sayuran yang mengalami kenaikan harga diambil dari negeri jiran tetapi kini kenaikan tidak terlalu ketara berbanding awal pelaksanaan PKP.