info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Sebahagian Kawasan Kelab Golf The Mines Resort Terbakar Disambar Petir

92views

KUALA LUMPUR, 16 Dis  — The Mines Resort and Golf Club menafikan dakwaan bahawa kebakaran yang berlaku pada Isnin lepas, melibatkan sebahagian besar kelab tersebut sebaliknya kebakaran hanya terjadi di bahagian atas restoran.

Pengerusi Eksekutif Country Heights Holdings Berhad and The Mines Tan Sri Lee Kim Yew berkata kebakaran berkenaan hanya melibatkan sebahagian restoran palong atau coffee house dan bukannya kebakaran yang besar seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.

Beliau yang juga pengasas kelab golf terbabit berkata kebakaran itu merupakan kejadian pertama yang berlaku di kelab golf terbabit.

“Bila saya melihat berita itu tersebar di internet, ramai yang mengatakan kelab ini mengalami kejadian kebakaran yang besar tetapi sebenarnya tidak. Hanya melibatkan restoran palong,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Lee berkata pihaknya menerima pelbagai respons dari dalam dan luar negara terutamanya daripada komuniti pemain golf yang bertanyakan khabar mengenai kejadian terbabit selain memberi kata-kata semangat termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya ada menerima panggilan daripada komuniti golf antarabangsa antaranya dari Jepun yang bertanyakan khabar mengenai kejadian terbabit termasuk dari pemain golf tempatan, kenalan termasuk Perdana Menteri (Muhyiddin),” katanya.

Jelasnya, beliau amat menghargai segala ucapan dan perhatian yang diberikan oleh semua pihak dari dalam dan luar negara mengenai kejadian itu.

Beliau berkata  penghargaan juga ditujukan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor yang memberi respons dengan pantas selain berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak.

“Saya amat menghargai jasa anggota bomba yang berjaya memadamkan kebakaran dengan pantas. Mereka lakukan dengan baik sekali meskipun saya mendapati peralatan yang digunakan mereka sudah uzur dan perlu diperbaharui,” katanya.

Berikutan kejadian terbabit, beliau berkata kelab golf berkenaan menutup operasinya pada hari kejadian dan dibuka semula semalam.

Pada Isnin lepas, Bernama melaporkan sebuah bangunan di kelab golf di Seri Kembangan telah terbakar dipercayai disambar petir.

— BERNAMA

Source link