info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Sebar Video Lama Tuduh Langgar SOP, Ismail Sabri Buat Laporan Polis

Majlis Santai Petang Menteri Pertahanan bersama Penggiat Seni Tanah Air di Kuala Lumpur, 15 Sep 2020
49views

KUALA LUMPUR, 13 Feb — Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis berhubung penyebaran video lama yang memfitnah beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Akhbarnya, Azlina Md Rosdy di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, kira-kira jam 12 tengah hari ini.

Azlina berkata, laporan itu bertujuan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas individu menyebarkan dua video lama yang bukan sahaja cuba merosakkan nama Datuk Seri Ismail Sabri tetapi juga cuba menimbulkan huru-hara antara kaum.

“Video pendek yang pertama adalah ketika Datuk Seri Ismail Sabri membuat sidang media harian berkaitan COVID-19 pada 14 Februari tahun lalu.

“Video itu ditularkan kononnya ia adalah sidang media terbaru dan seakan bertujuan mengelirukan rakyat kononnya tiada lagi saman dan kompuan akan dikenakan sekiranya melanggar SOP sebaliknya rakyat akan terus dipenjarakan.

“Ia adalah video lama dan kerajaan melakukan pelbagai penambahbaikkan dalam pelaksanaan SOP,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan berkenaan.

Selain itu, Azlina berkata, video kedua bertajuk ‘Sendiri Buat SOP Sendiri Langgar’ yang tular itu pula sebenarnya rakaman Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan menghadiri majlis santai bersama penggiat seni tanah air sempena Kempen Tabung Hari Pahlawan pada 16 September tahun lalu.

Katanya, video itu sengaja disebarkan dengan mendakwa beliau menghadiri majlis Sambutan Tahun Baharu Cina.

Azlina berkata, penyebaran video berniat jahat itu boleh menyebabkan timbul kemarahan rakyat sekali gus menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan rakyat.

“Kita mengenalpasti dua akaun Facebook yang memulakan penyebaran video itu dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Beberapa individu lain yang sebarkan video itu juga akan dikenalpasti dan akan dikenakan tindakan.

“Malah, semalam kita juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Terdahulu dua rakaman video memaparkan sidang media Ismail Sabri dan beliau hadir ke satu majlis serta bersalaman dengan tetamu yang hadir tular di Facebook.