Uncategorized

Segerakan pelaksanaan MA63

KUALA LUMPUR, 20 Sept — Beberapa Ahli Parlimen hari ini membangkitkan isu mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang pada hemat mereka perlu disegerakan.

Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) berkata sudah tiba masa kerajaan melaksanakan MA63 serta menyelesaikan beberapa perkara berbangkit antaranya melibatkan royalti minyak dan bayaran tunai.

“Saya juga mencadangkan pihak Parlimen untuk menyediakan salinan MA63 kepada semua Ahli Parlimen yang boleh digunakan sebagai rujukan sekali gus menghayati kandungan perjanjian itu,” katanya semasa sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja hari ini.

Turut senada, Datuk Masir Kujat (PSB-Sri Aman) meminta kerajaan untuk melibatkan pemegang taruh dalam setiap perbincangan berhubung MA63.

Katanya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak perlu turut serta dalam semua jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan ke arah merealisasikan pelaksanaan perjanjian itu.

“Selain itu, pelaksanaan MA63 perlu disegerakan dan diberi keutamaan oleh kerajaan, jangan hanya retorik poilitik semata-mata,” katanya.

Bagi Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), isu MA63 di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik tidak menyatakan tempoh masa pelaksanaannya secara jelas.

Menurutnya ia berbeza dengan lima agenda lain yang tersenarai dalam MoU itu yang mempunyai sasaran pelaksanaan.

“Namun apabila menyentuh tentang Perjanjian Malaysia 1963, hanya dinyatakan tiga baris ayat sahaja seolah-olah hanya sekadar menyedapkan hati rakyat di negeri Sabah berhubung MA63,” katanya.

Azis juga ingin tahu sama ada kerajaan akan mengekalkan pendirian untuk tidak mendedahkan Laporan Akhir Jawatankuasa Khas Kabinet kepada umum untuk menyemak pelaksanaan MA63.

Seramai 28 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan hari ini, antaranya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) dan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang menyentuh isu Transformasi Parlimen dan Pentadbiran, dan berpandangan isu jumlah peruntukan yang diberi kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang perlu sama.

Mohamed Nazri berkata perkara itu tidak seharusnya didiskriminasi memandangkan semua peruntukan yang diterima Ahli Parlimen adalah untuk kebaikan rakyat di kawasan parlimen masing-masing.

“Peruntukan Ahli Parlimen boleh diselesaikan kalau Parlimen itu benar-benar bebas dan bukan lagi bawah Jabatan Perdana Menteri dan perlu mohon dana dari Kementerian Kewangan.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button