Berita

Sektor Pelancongan Pulau Pinang Sedia Hadapi Impak PKP 3.0

115views

GEORGE TOWN, 9 Mei — Penggiat industri pelancongan di Pulau Pinang bersedia menghadapi impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ketiga (PKP 3.0) yang bermula Isnin dengan menjangkakan mengalami kerugian besar.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Pulau Pinang Raj Kumar berkata PKP 3.0 untuk tempoh dua minggu akan datang akan memberi impak buruk kepada kira-kira 6,000 pekerja industri hotel di negeri itu.

“Kebanyakan pemilik hotel mengalami kekurangan tunai dan mendapati sukar untuk membayar gaji kakitangan mereka. Adalah tidak mengejutkan sekiranya lebih banyak hotel di Pulau Pinang ditutup, sama ada sementara atau selama-lamanya dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berharap kerajaan Persekutuan akan melaksanakan langkah diperlukan dengan tegas dan berhati-hati, bukan sahaja untuk memastikan keselamatan kesihatan awam ketika COVID-19, malah bagi kelangsungan pemilik hotel di sepanjang tempoh PKP.

Sementara itu, operator destinasi menarik di Pulau Pinang turut berdepan tempoh sukar sejak larangan rentas negeri dikekalkan.

Pengerusi Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) Ch’ng Huck Theng melahirkan kebimbangan bahawa sebahagian daripada ahlinya mungkin tidak mampu untuk bertahan sehingga akhir tahun ini sekiranya PKP diteruskan.

Beliau berkata versi PKP yang pelbagai menyaksikan beberapa ahlinya yang menjalankan operasi destinasi tarikan yang lebih kecil perlu ditutup, manakala yang lebih besar berusaha keras untuk bertahan pada masa ini.

Ch’ng berkata sebelum COVID-19, ahli ATAP menggajikan lebih 10,000 pekerja dan berupaya meraih perolehan bersih terkumpul berjumlah RM1 bilion.

“Meskipun kita sedia maklum bahawa PKP ini diperlukan, kami berharap kerajaan Persekutuan akan memastikan inilah yang terakhir.

“Inilah masanya untuk kita benar-benar mengambil iktibar daripada kesilapan dan bersatu untuk mengembalikan semula harapan kepada kita semua,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKP di beberapa daerah dan mukim di Pulau Pinang bermula 10 hingga 23 Mei ini.

Daerah yang terlibat adalah Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, selain Mukim 12, Barat Daya; Bandar Butterworth dan Mukim 14, Seberang Perai Utara.

— BERNAMA

Source link