Berita

Selamatkah Vaksin COVID-19 Untuk Pesakit Kanser?

89views

KUALA LUMPUR (Bernama) — Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kini semakin rancak dengan lebih ramai individu tampil mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin itu.

Setakat 5 Jun lepas, hampir 13 juta individu telah berdaftar, berbanding 9.89 juta penduduk pada 6 Mei, demikian menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19.

Pada masa ini, fasa dua program sedang dilaksanakan melibatkan pemvaksinan warga emas dan kelompok komorbiditi (golongan yang menghidapi dua atau lebih penyakit) termasuk pesakit kanser.

Bagaimanapun ketidakpastian tentang keselamatan vaksin terhadap pesakit yang sedang menjalani rawatan kanser menyebabkan ramai antara mereka yang enggan mendaftarkan diri bagi menerima suntikan vaksin COVID-19.

Kebimbangan utama mereka ialah vaksin itu mungkin mengganggu rawatan kanser mereka dan meningkatkan risiko mereka mengalami komplikasi kesihatan yang lain.

Perunding pakar radioterapi dan onkologi  Mahkota Medical Centre  Dr Chong Kwang Jeat bagaimanapun menyangkal perkara itu dan menegaskan bahawa vaksin COVID-19 selamat dan tidak ada bukti menunjukkan vaksin berkenaan tidak selamat untuk penghidap kanser.

Malah, pesakit lebih selamat sekiranya mengambil vaksin itu bagi melindungi diri daripada jangkitan COVID-19. Ini kerana beberapa kajian yang dijalankan oleh pakar perubatan di negara-negara seperti China, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Itali baru-baru ini merumuskan “kesan buruk terhadap pesakit kanser yang dijangkiti COVID-19 berbanding mereka yang tidak menghidapi penyakit.”

VAKSIN SELAMAT

“Berdasarkan rumusan itu, penghidap kanser lebih berisiko mengalami jangkitan COVID-19 yang teruk dan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi,” kata Dr Chong dalam temu bual dengan Bernama, dan menambah bahawa risiko kematian bagi penghidap kanser yang dijangkiti COVID-19 ialah 15 hingga 30 peratus.

Beliau berkata keadaan itu dikesan khususnya dalam kalangan penghidap kanser berkaitan darah yang terimunokompromi (keadaan sistem imun defektif yang mengakibatkan timbulnya gejala penyakit), atau barah paru-paru atau penghidap kanser aktif  atau tahap akhir yang sedang menjalani rawatan, serta mereka yang tergolong sebagai komorbiditi seperti penghidap diabetes, hipertensi, penyakit jantung, masalah buah pinggang dan obesiti.

Bagi menangani isu pesakit kanser keberatan divaksinasi, Dr Chong berkata amat penting orang ramai dididik tentang faedah besar vaksin serta kepentingannya menerusi medium media arus perdana dan media sosial.

Ada keperluan mendesak untuk memupuk keyakinan dan kesedaran orang awam menerusi advokasi oleh tokoh terkenal dan pakar penjagaan kesihatan serta mengekang penularan maklumat mengelirukan mengenai vaksin, terutamanya yang disebarkan melalui media sosial.

“Orang ramai perlu tahu risiko ketiadaan vaksinasi ke atas kelompok besar yang berpotensi mencetuskan ‘tsunami’ kes COVID-19 yang akan memudaratkan sistem penjagaan kesihatan kita.

“Kita juga perlu menekankan bahawa apabila seseorang itu menerima vaksin, dia bukan sahaja melindungi dirinya tetapi juga orang di sekelilingnya serta masyarakat amnya. Tidak ada siapa yang selamat sehinggalah semua orang selamat,” tambah Dr Chong.

PATUHI RAWATAN

Dr Chong juga berkata data yang mengaitkan risiko COVID-19 yang lebih tinggi terhadap pemandiri kanser (mereka yang sembuh daripada kanser) juga bercampur.

“Hal ini disokong oleh kajian di Britain baru-baru ini yang menunjukkan kemoterapi dalam tempoh 12 bulan terkini dikaitkan dengan jangkitan yang teruk serta kematian akibat virus itu, khususnya bagi mereka yang menerima rawatan yang menjejaskan sistem imun mereka.

“Bagaimanapun, kajian lain daripada AS, Kanada, Sepanyol dan UK tidak menunjukkan impak besar ke atas kemoterapi yang terkini,” jelasnya.

Mengenai keperluan pesakit kanser meneruskan rawatan semasa penularan pandemik COVID-19 berikutan risiko lebih tinggi untuk mereka dijangkiti penyakit itu, Dr Chong berkata setiap kes adalah berbeza, justeru pesakit perlu membincangkan perkara tersebut dengan pakar onkologi yang merawat mereka untuk meneliti sama ada rawatan berkenaan boleh diubah suai.

“Prinsip panduan ialah meneruskan rawatan kanser sambil mengurangkan risiko penghidap dijangkiti COVID-19 kerana pengabaian mana-mana satu aspek ini boleh menyebabkan kesan yang lebih serius,” katanya.

Katanya doktor boleh mengubah suai rawatan kanser seperti menggantikan rawatan imunosupresif seperti kemoterapi dengan rawatan hormon bagi sesetengah kes barah payu dara atau mengurangkan kekerapan dan/atau durasi kemoterapi, serta menggunakan kemoterapi oral berbanding suntikan intravena atau infusi yang memerlukan lebih banyak kunjungan hospital.

“Bagi sesetengah pesakit, doktor boleh memendekkan durasi radioterapi dan mengurangkan kekerapan rawatan susulan bagi kes yang tidak mendesak,” katanya, menambah untuk yang tidak dapat hadir di hospital, mereka boleh memilih konsultasi dalam talian dan ubat-ubatan dihantar ke rumah.

Dr Chong sendiri melaksanakan konsultasi dalam talian selepas pendemik itu bermula tahun lepas, dengan kebanyakan pesakit beliau adalah dari luar negara.

TERIMA GUNA KONSULTASI DALAM TALIAN 

Menyedari kekangan konsultasi secara maya, Dr Chong berkata beliau lazimnya akan meneliti nota dan laporan yang dihantar oleh pesakit kepada beliau sebelum sesi konsultasi bermula.

Semasa sesi konsultasi, beliau akan membincangkan dengan pesakit dan/atau ahli keluarga mereka mengenai kes dan mencadangkan langkah seterusnya yang boleh diambil.

“Kemudahan ini sangat berguna bagi pesakit luar negara saya yang tidak boleh melakukan perjalanan berikutan sekatan dan penutupan sempadan.

“Konsultasi dalam talian juga membolehkan kami menyediakan kesinambungan penjagaan terhadap pesakit sedia ada yang tidak boleh datang ke hospital kami. Janji temu secara maya ini selalunya berlangsung dalam suasana mesra… seakan-akan perjumpaan semula dengan rakan lama. Saya sentiasa gembira bertemu pesakit lama saya, gembira masih dapat memberikan perkhidmatan kepada mereka. Kebanyakan pesakit rasa selamat dan tenang apabila mengetahui doktor mereka mengikuti perkembangan dan kesejahteraan mereka,” katanya.

Jika perlu, hospital juga akan menghantar ubat-ubatan menerusi perkhidmatan penghantaran kepada pesakit yang berkenaan selepas selesai sesi konsultasi secara maya.

Oleh Muhammad Basir Roslan

Diterjemah dan disunting oleh Noor Hayati Muda

BERNAMA

Source link