
Selangor diiktiraf MBOR terima penyertaan terbanyak penganjuran latihan keselamatan rumah kebajikan
SHAH ALAM, 16 Dis (Bernama) — Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor hari ini menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) untuk penyertaan teramai dalam penganjuran latihan keselamatan di rumah kebajikan di negeri tersebut.
Pengerusinya V. Ganabatirau berkata lebih 60 sukarelawan menyertai Program Cubaan Memecah Rekod ‘Most Participants In Welfare Home Safety Training Di Dalam Malaysia Book Of Records’ yang dilaksanakan di tujuh rumah kebajikan membabitkan 281 orang penghuni di seluruh Selangor.
Menurut Ganabatirau sebanyak RM37,000 dibelanjakan untuk program yang diadakan julung kali di bawah portfolio beliau bagi memberi latihan menghadapi banjir dan kebakaran kepada penghuni rumah kebajikan tersebut.
“Rumah-rumah kebajikan menguruskan bilangan penghuni yang ramai, jadi taklimat dan latihan keselamatan adalah perlu bagi memastikan penghuni dan penjaga rumah bersiap sedia dengan sebarang kebarangkalian.
“Latihan atau praktikal adalah aspek yang penting kerana penerangan semata-mata tidak akan dapat memberikan gambaran yang jelas tentang keadaan yang akan dilalui jika berlakunya kecemasan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selain itu, Ganabatirau berkata program berkenaan turut dijayakan dengan kerjasama Persatuan Cakna Anak Malaysia dan Kumpulan Kids Campus selain ditaja oleh beberapa pihak lain.