info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

Selangor Dijangkan Alami Fenomena Air Pasang Besar

90views

SHAH ALAM, 16 Okt — Kerajaan negeri Selangor memberi jaminan pusat pemindahan mangsa banjir yang disediakan susulan fenomena air laut pasang besar yang dijangka hujung minggu ini, akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata aspek penjarakan fizikal, kebersihan serta susun atur khemah di pusat berkenaan juga akan dititikberatkan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Contohnya, jika sebelum ini, kira-kira 20 keluarga boleh ditempatkan di dalam satu dewan, mungkin jumlah tersebut kita kurangkan untuk mewujudkan penjarakan fizikal dan penjarakan susun atur khemah.

“Sebagai persediaan, jika ada lokasi yang jumlah mangsa banjirnya besar, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuka pusat pemindahan lain berdekatan dengan dewan bagi mematuhi SOP penjarakan fizikal,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Khamis.

Muhammad Izzat Haziq berkata UPBN Selangor telah mengenal pasti 21 pusat pemindahan di lima daerah untuk digunakan sekiranya fenomena air pasang besar mengakibatkan banjir di kawasan berpenduduk iaitu Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Dalam pada itu, beliau berkata ban dan benteng pantai yang terhakis ekoran fenomena air laut pasang besar pada 19 dan 20 Sept lepas, juga selesai dibaik pulih oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dan beberapa benteng tambahan turut dibina khususnya di sekitar kawasan pantai di Kuala Selangor.

Jelasnya, anggota UPBN Selangor juga sentiasa meninjau secara berkala di beberapa lokasi yang diramal dilanda fenomena air pasang besar selain melakukan pemantauan menggunakan dron.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya menjauhi kawasan pantai bermula Khamis bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.

Fenomena air pasang besar dengan ketinggian air laut boleh mencecah sehingga 5.8 meter, diramal melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor pada Sabtu hingga Isnin ini, serta pada 15 dan 16 Nov depan.

– BERNAMA

Source Link