info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Perniagaan

Selangor Jangka Rekod FDI RM8b

80views

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah sekurang-kurangnya RM8 bilion yang dijangka direkodkan negeri Selangor pada tahun ini masih baik meskipun ia mungkin susut sehingga separuh berbanding angka 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Industri & Perdagangan dan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) yang diperolehnya dua hari lalu, sejumlah RM3.3 bilion nilai pelaburan sudah diluluskan untuk negeri itu setakat 30 Jun lalu bagi tahun ini.

Mengakui angka terbabit lebih rendah berbanding sasaran, Teng bagaimanapun menyifatkan ia sebagai cukup memuaskan dengan mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang membawa kepada pelaksanaan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh berbulan lamanya.

“Pada 2018 kita (Selangor) merekodkan FDI bernilai RM18.9 bilion, angka tertinggi dicatatkan dalam tempoh lima tahun diikuti tahun lalu kedua tertinggi iaitu RM17 bilion.

“Untuk tahun ini, kita mempunyai kira-kira RM5 bilion lagi pelaburan yang masih dalam proses mendapatkan kelulusan dan tentunya kita percaya kesemuanya akan diluluskan menjelang akhir tahun ini.

“Jika ini berlaku, sekurang-kurangnya RM8 bilion nilai FDI akan direkodkan di Selangor di mana saya fikir sudah cukup bertuah untuk kami mencatatkan jumlah ini apabila melihat bagaimana Covid-19 dan pelaksanaan PKP memberi impak kepada ekonomi seluruh dunia sejak awal tahun ini,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya sempena pelancaran Selangor International Business Summit, semalam.

Mengulas mengenai Belanjawan 2021 untuk pemulihan ekonomi, Teng berpendapat perlunya pakej rangsangan ditambah baik susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya bermula semalam.

“Selangor menyumbang 24.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 16 peratus,” katanya.

Source link