Berita

Selangor Turunkan Sasaran FDI

82views

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Pelaburan langsung asing (FDI) di Selangor dijangka berkurangan kepada RM8.5 bilion pada tahun ini berbanding RM17 bilion yang dicatatkan dalam tahun lepas berikutan sentimen ekonomi global yang lemah.

Sasaran FDI adalah semakan menurun daripada ramalan awal sebanyak RM12 bilion dalam lima sektor utama merangkumi elektrik dan elektronik, makanan dan minuman serta jentera.

Anggota Majlis Eksekutif Kanan Selangor serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Industri dan Perdagangan, Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Teng Chang Khim berkata sasaran yang disemak semula itu adalah sejajar dengan sentimen global akibat pandemik COVID-19, yang mana trend yang sama berlaku pada kebanyakan negara.

“Setakat 30 Jun, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan sejumlah RM3.3 bilion pelaburan di Selangor.

”Kami berharap untuk mempunyai pelaburan yang diluluskan sebanyak RM8.5 bilion menjelang akhir tahun,” katanya lagi.

Walaupun sasaran kali ini agak rendah daripada yang dijangkakan, ia masih dianggao baik berikutan keadaan pasaran sekarang ini.

”Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga bulan dan PKP Bersyarat (PKPB) semasa bagi seluruh Selangor, kami tidak tahu kemungkinan yang bakal berlaku,” katanya.

Menurut Teng, kerajaan negeri juga tidak dapat meramalkan prospek bagi 2021, memandangkan ketidaktentuan terus berlarutan.

”PKP pasti akan meninggalkan beberapa kesan. Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kami akan diselaraskan oleh satu lagi penguncupan sebanyak 4.4 peratus, ini mencerminkan pertumbuhan negatif,” katanya.

Bagaimanapun, PKPB kali ini hanya menyekat aktiviti dan bukannya pergerakan.

”Semua perniagaan dan aktiviti ekonomi masih dibenarkan. Saya berharap ini akan meminimumkan kesan ke atas pembangunan ekonomi,” katanya.

Terdahulu, Teng membuat pelancaran maya Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2020 yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor serta Smart City dan Konvensyen Ekonomi Digital.

”Walaupun menghadapi cabaran dan prospek ekonomi yang kurang memberangsangkan, Selangor terus mengambil peranan sebagai penjana ekonomi serantau kerana ia menyumbang 24 peratus kepada KDNK Malaysia setiap tahun,” katanya.

Turut hadir semasa majlis pelancaran maya itu adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari.

— BERNAMA

Source link