Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaSeni digital masuki arus perdana melalui pameran seni NFT MAC pertama di...

Seni digital masuki arus perdana melalui pameran seni NFT MAC pertama di Malaysia

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) — Teknologi non-fungible tokens (NFT), aset digital kini sedang memasuki arus pasaran perdana negara dengan beberapa jenama besar dilihat semakin menghayati konsep NFT dan membangunkan projek NFT mereka sendiri.

Seiring dengan perkembangan itu, maka tidak hairan bahawa Malaya Ape Club (MAC), sebuah projek NFT tempatan mengambil inisiatif menganjurkan pameran seni NFT pertama di Malaysia dengan menampilkan seni NFT projek MAC dan koleksi dari beberapa projek NFT terkemuka dan popular.

Pameran itu akan berlangsung di The Gallery @Lot10 selama seminggu bermula Sabtu ini (21 Mei).

“Pameran ini akan bermula pada 21 Mei dengan majlis pelancarannya dari 2 hingga 7 petang dan kami jangkakan ramai pencipta koleksi NFT serta peminat akan hadir,” kata Pengasas MAC Andrew Ngo kepada Bernama, semalam.

Koleksi seni NFT dari MAC dan MMORPG tempatan, Soulbond Rebels Arise akan dipamerkan menerusi projek terkenal NFT seperti BAYC, MAYC, Karafuru, Kaijukings, CloneX, Cyberkongz, 8sian, Zombie Club, FWENCLUB, BAPETAVERSE, GCC, Vee Friends dan PMC.

“Soulbond amat bangga dan berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada pameran ini, yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ini adalah satu detik penting dalam evolusi NFT, dan kami tidak sabar untuk meraikannya bersama,” kata Ketua Pemasaran Soulbond Boonie Ten, ketika dihubungi baru-baru ini.

“Pameran ini akan membantu menangkis kesangsian dan kebimbangan mengenai NFT, dan saya berharap orang ramai akan mengambil kesempatan melalui pameran ini mengenali dengan lebih dekat keunikan NFT,” tambahnya.

Senada dengan Boonie, Andrew  berkata hasrat beliau ialah pencipta dan peminat NFT serta orang ramai akan memperoleh manfaat daripada pameran ini kerana ia adalah kali pertama komuniti NFT tampil bersama menghayati usaha mereka.

“Jadi ia sememangnya cara untuk kami menzahirkan komitmen terhadap  projek kami dan gerakan NFT secara amnya, serta untuk memperkenalkan NFT dan potensinya kepada pendatang baru dan mereka yang berminat,” kata Andrew.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular