info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

Seorang Lagi Maut Akibat Rabies Di Sarawak

36views

KUCHING, 10 Jun — Sarawak merekodkan satu lagi kematian akibat rabies, menjadikan keseluruhan empat kes kematian setakat ini untuk tahun ini di negeri itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata  mangsa terbaharu itu merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 45 tahun yang disahkan positif pada 11 Mei lalu dan meninggal dunia sehari kemudian dengan diagnosa rabies encephalitis.

Mangsa yang tinggal di sebuah rumah pekerja kilang papan di Stapang di daerah Selangau itu telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada 6 Mei lalu disebabkan mengalami gejala demam, sakit kepala, sakit tekak, sakit semasa minum air dan hydrophobia.

“Mangsa mempunyai sejarah digigit sebanyak dua kali, iaitu di bahagian betis dan dagu oleh dua ekor anjing milik rakan sekerjanya pada Februari dan Mac tahun ini di kawasan kilang papan tersebut, namun mangsa tidak pernah mendapatkan rawatan selepas digigit oleh anjing terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pemilik telah membunuh kedua-dua ekor anjing tersebut tetapi tidak menyerahkan bangkainya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk siasatan lanjut.

Sejak wabak rabies diisytiharkan pada 1 Julai 2017 di negeri itu, jumlah kes jangkitan ialah sebanyak 35 kes dengan 33 menyebabkan kematian, sementara dua lagi kes melibatkan kanak-kanak yang masih hidup, namun mengalami komplikasi neurologi yang serius, katanya.

Source link