Berita

Seorang Pemandu Lori Didakwa Bunuh Anak Tiri

59views

TAMPIN, 19 Feb — Seorang pemandu lori simen didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh anak tiri perempuannya berusia empat tahun, awal bulan ini.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Abu Hassan Darus, 30, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Tan Chai Wei.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dari Kampung Halacara Baru Londah Gemas didakwa menyebabkan kematian mangsa berusia empat tahun antara jam 3 hingga 5 petang pada 1 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 25 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ahmad Sazali Omar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan, helah seorang lelaki membawa anak tirinya ke klinik kerana mengalami kekejangan terbongkar selepas dia ditahan kerana disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia empat tahun itu sehingga maut, dalam kejadian pada 1 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, dilaporkan berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada 9 Februari lalu kira-kira jam 10 malam di hadapan balai polis ketika menunggu isteri dan seorang lagi anak tirinya berusia sembilan tahun yang dipanggil memberi keterangan.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori simen ditahan selepas pendedahan abang mangsa kepada polis adiknya kerap dipukul oleh bapa tirinya.

Source Link