Berita

Sepuluh Tahun Royalti Diberhentikan

159views

KOTA BHARU, 15 Dis — “Sudah 10 tahun saya tidak menerima bayaran royalti selepas bertukar ke syarikat rakaman lain sebaik EMI Music beralih kepada Universal Music,” kata penyanyi yang pernah populariti menerusi lagu Nasi Dagang, Rosemaria.

Rosemaria berkata, dia sempat menikmati pembayaran royalti setiap kali lagu-lagunya diputarkan di corong radio ketika bernaung di bawah syarikat rakaman, EMI Music sekitar 1980-an.

“Jika dahulu saya mampu memperoleh bayaran royalti hingga ribuan ringgit dalam tempoh setahun, namun, kini tidak lagi dibayar. Saya tidak tahu kepada siapa hendak mengadu.

“Soal pembahagian royalti artis daripada zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee masih dilihat serba tidak kena, sekali gus timbul dakwaan wujud tiada ketelusan dalam isu agihan royalti kepada artis,” katanya kepada BH Online.

Pemilik nama Rosemaria Abdul Hamid itu ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid menerusi program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 di kediamannya di Kota Bharu, semalam.

Rosemaria berkata, badan menguruskan pengagihan royalti harus dikawal selia oleh kerajaan bagi memastikan royalti artis diberikan secara adil dan saksama kepada semua ahli.

“Sekarang ini, kita tidak boleh mempercayai sesiapa kerana syarikat rakaman yang baharu ditubuhkan seolah-olah mempunyai agenda tersendiri dan wang yang diperoleh dimasukkan ke dalam akaun syarikat tanpa pengetahuan mana-mana artis.

“Ramai artis mula bersungut dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap isu bayaran royalti. Sebagai anak seni, kami perlu mendapat hak yang sewajarnya,” katanya.

Katanya, walaupun wajahnya jarang muncul di kaca televisyen, namun masih menyanyi sekiranya menerima undangan.

Bagaimanapun, katanya, keutamaannya kepada keluarga, selain sibuk menjadi tukang jahit.

“Pada masa ini, saya menjalankan perniagaan mengambil upah menjahit sepenuh masa. Sebenarnya, saya mula mengambil upah menjahit ketika berusia 19 tahun hingga hari ini,” katanya.

Source Link