Berita

Sesi persekolahan di Klang masih berjalan seperti biasa walaupun zon merah

59views

SHAH ALAM, 6 Okt  — Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan sesi persekolahan di Klang masih diteruskan seperti biasa setakat ini walaupun daerah itu dikategorikan sebagai zon merah tengah hari tadi.

Pengarahnya, Izmi Ismail ketika dihubungi Bernama berkata sebarang penutupan sekolah hanya akan dilakukan selepas mendapat saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau berkata setakat ini, hanya tujuh kelas melibatkan dua sekolah di Klang ditutup selepas pelajar dan gurunya diarah menjalani kuarantin di rumah kerana mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif COVID-19.

“Ia membabitkan masing-masing satu kelas tingkatan lima dan tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendamaran Jaya dan lima kelas tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Andalas.

“Bagaimanapun, kita telah melakukan proses sanitasi di semua kelas yang terlibat,” katanya.

Izmi berkata kuarantin selama 14 hari membabitkan pelajar dan guru SMK Pendamaran Jaya bermula pada Rabu lepas (30 Sept) manakala bagi SK Taman Sri Andalas pula pada Sabtu (3 Okt).

Beliau berkata pihak sekolah juga sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mematuhi segala saranan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mengawal penularan pandemik COVID-19.

Selangor mencatatkan 232 kes aktif hari ini termasuk di Klang, yang merekodkan 77 kes sedang dirawat.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya berhubung situasi semasa COVID-19 berkata setakat ini, kerajaan memutuskan untuk menutup sekolah di kawasan zon merah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna di Sabah.

Source link

Leave a Response