info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Siak Meninggal Di Dalam Longkang

139views

DUNGUN, 20 Jan — Seorang siak ditemui mati di dalam longkang dalam kawasan Masjid Hadhari dekat Paka, tengah hari tadi.

Mangsa, Abdul Hamid Mat Zahari, 45, ditemui dalam tidak sedarkan diri oleh bilal masjid terbabit, Che Ku Mohd Fauzi Che Engku Mohd Razali, kira-kira jam 12.50 tengahari.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, bilal masjid yang tinggal di Kampung Batu 7, menemui mangsa berada dalam longkang berkenaan, sejurus keluar daripada tandas masjid.

“Terkejut dengan kejadian itu, bilal berkenaan beberapa kali berusaha mengejutkan mangsa yang didapati berada dalam keadaan tidak sedar.

“Bilal terbabit kemudiannya menghubungi Klinik Kesihatan Paka, sebelum pegawai perubatan yang bergegas ke lokasi membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia, “katanya.

Baharudin berkata, polis yang menerima laporan kira-kira jam 1.15 tengah hari, bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.

“Siasatan mendapati ada wayar kabel tiang lampu berhampiran dengan kaki mangsa dan kita percaya mangsa terjatuh disebabkan kabel terbabit.

“Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, “katanya.

Source Link