Berita

Sidang DUN Melaka Dijangka Diadakan Pertengahan Julai

112views

MELAKA, 19 Jun — Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka diadakan selewat-lewatnya pertengahan bulan depan selepas tarikh sebenar pelaksanaannya digazetkan.

Timbalan Speaker DUN Melaka Datuk Ghazale Muhamad berkata tarikh persidangan DUN sekurang-kurangnya perlu digazetkan dua minggu sebelum persidangan tersebut boleh berlangsung selepas mendapat keizinan daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

“Kita di peringkat DUN akur dengan kebenaran dan izin oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengarahkan supaya persidangan Parlimen dan DUN diadakan dalam masa terdekat.

“Kita telah berunding dengan Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam untuk mendapatkan keizinan bersidang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin di Zoo Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata sidang DUN perlu dan penting dilaksanakan secepat mungkin kerana banyak isu dan masalah rakyat yang perlu dibincang serta diselesaikan dalam kalangan ahli DUN.

Katanya, ia bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat khususnya mereka yang terjejas ekoran penularan COVID-19 terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dapat diatasi.

Istana Negara sebelum ini dalam satu kenyataan menyebut bahawa Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata Seri Paduka bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

— BERNAMA

Source link